BanjirSemasa

BALING BANJIR: KDN aktifkan Op Bantu Baling

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengaktifkan Op Bantu Baling secara serta-merta pada 4 Julai 2022 bagi mengkoordinasi segala bentuk bantuan dan operasi menyelamat mangsa banjir di kawasan itu.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Ketua Polis Negeri Kedah telah mengetuai Op Bantu Baling, dan turut melibatkan Jabtan dan Agensi di bawah KDN yang lain antaranya, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Penjara Malaysia (PRIDE).

“Seramai 164 pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diatur gerak manakala sebanyak 44 aset kenderaan serta peralatan kecemasan PDRM telah digerakkan ke lokasi bencana.

“Aset tersebut termasuk empat buah bot, lapan buah lori, tiga buah kenderaan pacuan empat roda, dua buah van dan 10 buah motokar,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurutnya lagi, 46 orang anggota RELA telah dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang terlibat dan ditugaskan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sementara itu, kementerian itu juga akan memantau serta memaklumkan laporan terperinci mengenai perkembangan kerja menyelamat dan membantu mangsa banjir secara harian.

Tambahnya lagi, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 / 03-2266 3444 / 03-2266 3451 atau talian MERS 999.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button