PUTRAJAYA : Malaysia menegaskan sekali lagi pendirian bahawa tidak akan sesekali menjalinkan hubungan dengan rejim Israel.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi satu hantaran di Facebook berkata Malaysia akan terus menzahirkan sokongan dan solidariti yang tidak berbelah bahagi kepada saudara-saudara kita di Palestin.
“Malaysia tidak akan menjalinkan hubungan dengan Israel. Komuniti antarabangsa harus bersatu untuk menamatkan rejim apartheid Israel,” tegasnya.
Dalam pada itu, menurutnya lagi Malaysia menyeru penamatan segera kepada pemindahan paksa rakyat Palestin yang berlarutan oleh rejim tentera Israel.
Semalam (15 Mei) merupakan ulang tahun ke-74 Al-Nakba, iaitu penghapusan etnik rakyat Palestin pada tahun 1948.
Peristiwa hitam itu telah meragut hampir 800,000 rakyat Palestin, hak mereka dirampas malah diusir dari tanah air mereka sendiri.
Walaupun tragedi itu berlaku lebih 70 tahun yang lalu, pada tahun 2022 kekejaman Israel masih belum menemui titik noktahnya.
Mereka terus melancarkan serangan dan menggugat keselamatan rakyat Palestin sehingga ke hari ini.