Kawal pemakanan ketika beraya, mampu ke?
Setelah sebulan menjalankan ibadah puasa menahan lapar dan dahaga sepanjang bulan Ramadan, akhirnya seluruh umat Islam menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri.
Sudah tentu, umat Islam khususnya di Malaysia ternanti-nanti untuk menyambut hari kemenangan ini untuk pulang ke kampung halaman berjumpa dengan ibu, ayah serta sanak-saudara setelah dua tahun tersekat akibat pandemic Covid-19.
Bukan itu sahaja, malah antara aktiviti yang paling menarik dalam menyambut bulan Syawal ini sudah pastinya keenakan juadah hari raya seperti lemang, rendang, ayam masak merah dan sebagainya.
Seseorang mungkin mengambil makanan yang berkalori tinggi tanpa mereka sedar dan ini boleh menyebabkan seseorang itu boleh naik berat badan semasa hari raya.
Pengambilan kalori yang tinggi juga merupakan punca penyakit yang lebih teruk seperti kencing manis dan darah tinggi. Perkara yang perlu diberi perhatian adalah keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian.
Di sini, kami ingin kongsikan tips yang dikongsikan dari seorang pakar diet, Dr Salsabila Aznan dan cara-cara yang mudah untuk mengawal pemakanan ataupun diet yang boleh diamalkan ketika musim perayaan ini.
- Anda dinasihatkan mengambil sedikit masa untuk melihat semua makanan yang terhidang sebelum membuat keputusan untuk memilih makanan yang anda inginkan. Kebiasaannya, pelbagai jenis makanan akan dihidangkan semasa hari raya seperti rendang, ketupat dan 1001 jenis kuih raya. Dengan cara ini, ia boleh membantu anda memilih jumlah makanan yang anda mahukan dengan terkawal dan tidak mengikut nafsu semata-mata.
- Ketika hadir ke rumah terbuka, sudah pasti tuan rumah banyak hidang air manis kan? Air berkarbonat juga hendaklah dikurangkan kerana mengandungi gula yang sangat tinggi. Oleh itu, anda dinasihatkan supaya tidak lupa untuk meminum air kosong juga dengan kuantiti yang mencukupi. Bukanlah tidak boleh minum air manis langsung tapi perlulah kawal.
- Hidangan hari raya kebanyakannya terdiri dari makanan berlemak dan ada juga yang mengandungi kandungan garam yang tinggi. Oleh itu anda dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan makanan seperti ini. Orang ramai boleh mengamalkan cara suku suku separuh, iaitu satu konsep pemakanan yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam program Pinggan Sihat Malaysia, kita akan bahagikan pinggan kita kepada 3 bahagian iaitu
- Suku pinggan dengan sumber karbohidrat.
- Suku pinggan dengan sumber protein dan lemak.
- Separuh pinggan dengan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Ini bermakna, jika anda makan nasi, maka suku pinggan itu adalah nasi. Suku lagi adalah lauk. Suku lagi adalah sayur dan buah. Manakala jika anda makan bihun sup, suku pinggan atau mangkuk itu adalah bihun. Suku lagi adalah lauk seperti kepingan ayam atau daging, separuh lagi adalah ulam dan sayur-sayuran serta pencuci mulut dengan buah-buahan.
- Untuk makan tengahari dan makan malam, sudah pasti mungkin sudah terlalu kenyang dengan ketupat dan lemang serta hidangan hari raya yang lain. Namun, jika berjaya mengawal pemakanan, anda boleh menambah pengambilan sayur-sayuran, dan buah-buahan segar. Sayur-sayuran dan buah-buahan ini sangat penting untuk membantu penghadaman makanan yang anda ambil sepanjang hari tersebut. Tentu tidak seronok, bukan? Orang lain bergembira bertemu sanak saudara di hari raya, tetapi anda ter’perangkap’ di dalam tandas sepanjang hari.
- Seterusnya, orang ramai dinasihatkan agar makanan dengan makan makanan dalam jumlah yang sederhana dan terkawal bagi menjaga kalori. Keperluan kalori untuk lelaki dewasa ialah 2,000 kalori sehari manakala untuk wanita dewasa atau warga emas ialah 1,500 kalori sehari. Kalori berlebihan bukan sahaja membuatkan ukur lilit pinggang anda bertambah, ia juga boleh menjadi punca kepada masalah yang lain seperti gastrik dan makanan sukar dihadam.
Kita tidak menghalang mereka untuk menikmati juadah tetapi perlu bijak semasa memilih jenis dan kuantiti makanan tersebut. Antara yang perlu mereka jaga adalah makan secara teratur bagi mengelakkan terkena penyakit yang tidak diingini. Raya raya juga, pemakanan pun harus dikawal juga.
Diharap panduan yang dikongsikan sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk mengawal pengambilan makanan di hari raya nanti Jadi lepas ni kalau nak ambil gambar masa raya, tidak perlulah kena tahan nafas nak bagi nampak perut kempis kan?