Adat memantai kembali meriah di Beranang tahun ini

Oleh: Izzul Nazaruddin, wartawan Ummah Today
Suasana sambutan Lebaran semakin ceria di Beranang, Selangor dengan kembalinya pelaksanaan budaya Memantai selepas dua tahun Malaysia menghadkan aktiviti penjualan akibat penularan COVID-19.
Memantai merupakan tradisi Adat Pepatih yang masih dilaksanakan oleh masyarakat Negeri Sembilan hingga ke hari ini.
Memantai atau perkataan asalnya, bantai merupakan aktiviti melapah daging sehari sebelum berpuasa dan sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Masyarakat setempat juga akan mengadakan aktiviti jualan daging selama tiga hari secara berterusan sehingga malam takbir raya.
Suasana aktiviti Memantai juga bertambah ceria bagi penduduk di Beranang apabila Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Datuk Haji Hasanuddin Mohd Yunus turut mengunjung pada pagi ini di Tapak Pasar Seri Pekan Beranang, Selangor.
Beliau berkata tradisi adat Memantai ini telah ada di Beranang sejak dahulu lagi dan menjadi sebuah tradisi kekal bagi masyarakat tempatan.
“Memang menjadi adat bagi penduduk di Beranang untuk membuat aktviti Memantai setiap tahun sejak sebelum tahun 1970-an lagi dan dahulu bagi mereka yang akan merantau akan singgah di Beranang untuk membeli daging bagi persiapan raya,” katanya ketika ditemubual Ummah Today.

Sumber: Ummah Today
Menurut beliau juga, tapak itu telah dibayar dan diberikan secara percuma kepada peniaga tempatan sebagai usaha untuk kembalikan taraf ekonomi tempatan.
Beliau juga mengambil langkah membeli daging kepada peniaga untuk menawarkan tawaran diskaun kepada pembeli bagi meriahkan lagi sambutan memantai.
“Kami membeli daripada peniaga-peniaga di kawasan ini lebih kurang 2,000 kg daging untuk kita bahagikan kepada mereka yang kurang berkemampuan dengan menawarkan potongan harga sebanyak RM10 daripada harga pasaran,” tambahnya.

Sumber: Ummah Today
Beliau turut mengharapkan dengan usaha dari pihak kerajaan ini akan terus kembalikan dan menceriakan tradisi Memantai.