DomestikSemasa

Youtuber Muslim promosi syarikat perjudian

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih 

Apabila muncul isu halal dan haram, biasanya ia akan dikaitkan dengan khinzir ataupun arak, namun selain makanan, hukum halal dan haram juga wujud dalam transaksi jual beli, perniagaan & kewangan.

Baru-baru ini seorang pengguna twitter bernama Uzair Yusof menyelar seorang ‘Youtuber’ terkenal kerana menerima tajaan serta melakukan promosi terhadap satu syarikat perjudian di atas talian.

Dalam video youtuber tersebut memaparkan ‘Live Casino’ apabila dia melakukan promosi terhadap syarikat tersebut.

Jelas dalam Islam, perbuatan kasino adalah suatu bentuk perjudian dan ia merupakan perkara yang haram dalam Islam.

Sekiranya pendapatan tersebut daripada aktiviti haram, maka jadilah wang itu wang haram, jika wang itu bercampur antara halal dan haram, maka jadilah wang itu wang syubhah.

Isunya semakin parah kerana youtuber itu mempunyai pengikut dan penonton yang ramai, malah mengajak mereka bagi mengklik pautan ke laman judi tersebut. Untuk apa? Adakah klik saja-saja?

Sudah jelas dan nyata Allah SWT mengharamkan apa sahaja yang berkaitan judi termasuklah mempromosi judi, seperti yang terkandung dalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…” Surah Al-Baqarah: ayat 219

Bagaimana kalau ada yang baru tersedar bahawa aktiviti mempromosi itu adalah menyokong perjudian dan ia bercanggah dengan syariat Islam?

Hukumnya, harta yang diperolehi daripada sumber yang diharamkan oleh syarak, seperti daripada transaksi riba, perniagaan judi dan arak yang merupakan wang tidak patuh syariah adalah tidak boleh digunakan. Malah, harta itu perlu diserahkan kepada Baitulmal.

Dalam Islam Rasulullah SAW mengajar umat Islam dalam mencari rezeki daripada sumber yang halal dan berkat.

Dalam Surah al-Mukminun, Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh.”
Surah Al-Mukminun: 51

Dalam ayat di atas, kita dapat lihat mencari rezeki atau makanan yang halal itu lebih utama berbanding amal soleh, ini kerana amal soleh tidak akan diterima jika tidak didahului dengan makanan yang halal.

Justeru itu, menjadi tanggungjawab dalam masyarakat supaya trend mempromosikan syarikat perjudian ini tidak berleluasa dalam kalangan umat Islam, yang paling utama tidak mendorong masyarakat untuk melakukan perbuatan yang jelas haram.

Untuk yang sudah terlanjur mempromosi dan berjudi, ruang taubat masih terbuka sekiranya masih bernyawa, belum terlambat untuk insaf apatah lagi pada bulan Ramadan ini.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button