DomestikSemasa

Perak benar solat Aidilfitri di kawasan lapang dan tempat terbuka

Oleh Azrina Amri, Wartawan Pelatih 

IPOH : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melaksanakan Solat sunat Aidilfitri tanpa penjarakan fizikal antara jemaah di masjid dan surau pada 1 syawal nanti.

Dalam satu kenyataan, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Dato’ Seri Mohd. Annuar Zaini, berkata Solat Sunat Aidilfitri di negeri ini boleh dilakukan di kawasan terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan-kawasan perumahan.

“Solat Sunat Aidilfitri, boleh dilakukan dengan syarat pihak penganjur memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Aidilfitri kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah dan Balai Polis atau Pondok Polis terdekat,”katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya lagi, aktiviti takbir Aidilfitri dari rumah ke rumah dan ziarah perkuburan juga dibenarkan  pada perayaan kali ini.

Annuar Zaini berkata, baginda juga bertitah hidangan jamuan Aidilfitri boleh dilakukan secara terbuka di masjid dan surau secara terbuka atau bufet bermula solat Maghrib hari khamis ini.

Sultan Nazrin menzahirkan titah berkenaan berlandaskan sembah nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

“Semua aktiviti Aidilfitri hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dan JKN seperti pemakaian pelitup muka dan mendaftar kehadiran di MySejahtera,”katanya.

Tambahnya lagi, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat di samping mendoakan kesejahteraan rakyat baginda.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button