DuniaSemasa

Operasi pencarian remaja Belanda ditamatkan

MERSING: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia menghentikan operasi setelah tujuh hari pencarian remaja warga Belanda, Nathan Renze Chesters yang dipercayai hanyut ke perairan negara itu.

Pada 6 April lalu, remaja berusia 14 tahun itu antara empat penyelam Eropah termasuk bapanya yang menjalani latihan selam skuba yang berhampiran Pulau Tokong Sanggol, sebelum dilaporkan hilang akibat dihanyutkan arus.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, sekitar pukul 7 petang semalam operasi oleh negara itu ditamatkan secara rasmi berikutan tiada sebarang petunjuk dan penemuan mangsa di perairan Pulau Bintan, Indonesia.

Katanya, Pusat Operasi Basarnas Tanjung Pinang mengumumkan penutupan operasi pencarian yang bermula 10 April di sektor perairan Indonesia itu tidak menunjukkan sebarang petunjuk dan penemuan setelah tujuh hari pencarian dilakukan.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) juga memaklumkan kepada pihak kedutaan Britain dan Belanda mengenai laporan tamat Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Indonesia itu.

“Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa negara itu melibatkan sebuah kapal Tentera Nasional Indonesia, sebuah kapal dari Badan Keamanan Laut Indonesia, Polis Perairan Indonesia dan sebuah kapal Basarnas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Khairul Nizam, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengucapkan terima kasih dan penghargaan di atas kerjasama semua pihak sepanjang operasi berlangsung.

Katanya, yang mengharapkan kerjasama dalam kalangan agensi dan jabatan terus dimantapkan agar keselamatan dan kesejahteraan komuniti maritim di perairan negara kekal terjamin.

Terdahulu, Maritim Malaysia mengumumkan pada 9 April telah menamatkan operasi mencari remaja tersebut susulan penemuan dua penyelam lain iaitu bapanya, Andrian Peter Chester, 46, dan Alexia Alexandra Mollina, 18, di perairan Indonesia.

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button