Covid19DuniaEkonomiSemasa

Sri Lanka isytihar muflis

Oleh: Wartawan Pelatih, Hasanah Yusof

COLOMBO : Kerajaan memberi isyarat bahawa Sri Lanka kini diisytiharkan muflis selepas membuat pengumuman penggantungan sementara bayaran balik semua hutang luar negara.

Akibat daripada pelbagai faktor, negara itu tidak dapat memenuhi komitmennya berikutan kedudukan kewangan yang lemah.

Perkara ini telah menamatkan rekod cemerlang Sri Lanka dalam membayar tanggungan hutang-hutang luar negaranya sejak kemerdekaan.

Menurut Setiausaha Perbendaharan, Mahinda Siriwardena, penstrukturan semula obligasi hutang luar negara yang tertib akan disokong oleh program bantuan ekonomi yang disokong oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Beliau menyatakan Sri Lanka mempunyai rekod pembayaran hutang luar negara yang tidak tercela sejak kemerdekaan pada 1948.

“Namun peristiwa baru-baru ini termasuk pandemik COVID-19 dan konflik di Ukraine telah menghakis kedudukan fiskal Sri Lanka.

“Lewat bulan lalu, IMF telah menilai stok hutang Sri Lanka tidak mencapai prestasi yang baik.

“Walaupun, kerajaan telah mengambil langkah luar biasa dalam usaha untuk kekal terkini mengenai semua hutang luarnya, ini bukan lagi dasar yang boleh dipertahan dan penstrukturan semula diperlukan,” kata beliau.

Tambahnya lagi, kerajaan menghubungi IMF untuk mendapatkan bantuan berbentuk program pemulihan ekonomi  bantuan kewangan kecemasan.

Seterusnya, kerajaan juga berusaha mendapatkan bantuan kewangan daripada rakan kongsi pelbagai hala dan dua hala yang lain dalam usaha meringankan penderitaan kepada rakyat.

Gabenor Bank Pusat (CBSL), Dr. Nandalal Weerasinghe berkata, mereka telah kehilangan keupayaan untuk membayar balik hutang asing dan telah sampai ke tahap untuk membuat pembayaran hutang adalah mencabar dan mustahil.

“Kami perlu memberi tumpuan kepada import penting sahaja dan tidak perlu bimbang hutang luar.

“Ini merupakan kaedah rundingan pendahuluan (pre-emptive), berhubung soal hutang.

“Kami telah umumkan hal ini kepada pemiutang,” ujar beliau.

Sri Lanka mempunyai kira-kira AS$6 bilion (RM 25.38 bilion) pembayaran hutang negeri untuk baki 2022 manakala rizab boleh guna menjunam ke paras terendah dalam sejarah iaitu AS$150 juta (RM 634.50 juta).

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button