DomestikEkonomiSemasa

Kedudukan kewangan Tabung Haji stabil

Kuala Lumpur: Berikutan peningkatan kos menunaikan haji bagi jemaah muassasah, Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan ia disebabkan masalah kewangan yang dihadapi.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, memandangkan TH sudah mengumumkan agihan keuntungan kepada pendeposit dan ini jelas menunjukkan kedudukan kewangan TH berada dalam keadaan baik malah beliau menyangkal dakwaan itu tidak benar sama sekali.

Katanya, kenaikan kos menunaikan haji tersebut, ia lebih menjurus kepada faktor inflasi, percukaian dan perkhidmatan lain di Arab Saudi yang langsung tiada kaitan dengan kedudukan kewangan TH.

“Situasi ekonomi semasa yang berlaku turut memberi impak kepada kos menunaikan haji dan ia berada di luar kawalan TH, umpamanya cukai nilai tambah (VAT) yang meningkat sebanyak 15 peratus berbanding lima peratus sebelum ini.

“Malah ia juga berkaitan dengan perkhidmatan disediakan di Tanah Suci antaranya membabitkan pembangunan di kota suci yang memaksa banyak hotel terpaksa dirobohkan sejak 2004, jadi harga penginapan turut meningkat.

“Malah, menerusi Misi 2030 Kerajaan Arab Saudi yang mana mereka tidak mahu bergantung kepada pendapatan daripada minyak, tetapi ingin lihat dari segmen seperti perkhidmatan, pelancongan, ternakan termasuklah berkaitan haji,” katanya dalam sesi temubual Ruang Bicara bertajuk Memahami Isu Kos, Bantuan dan Bayaran Haji.

Susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi, TH menjangkakan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada tahun ini meningkat lebih RM25,000.

TH memaklumkan berlaku peningkatan 12 peratus dalam kos berkenaan berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019.

Menurutnya lagi, bakal jemaah perlu peka dengan maklumat yang disebarkan di media sosial serta tidak menerimanya secara terus dan perlu memahami apakah itu kos dan bayaran yang terlibat.

“Kos yang perlu ditanggung oleh bakal jemaah haji ialah kos langsung iaitu penerbangan, penginapan, pengangkutan, makanan dan perkhidmatan disediakan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Bayaran haji ialah bayaran yang perlu dibayar jemaah sama ada bersama muassasah atau pun pergi dengan pakej swasta.

“Pada 2019, bayaran dikenakan kepada jemaah haji ialah RM9,980 selebihnya iaitu RM12,980 ditanggung oleh TH atau bersamaan 44 peratus saja bayaran yang perlu dilunaskan oleh jemaah,” katanya.

Katanya, bagi menentukan bayaran haji pada tahun ini, faktor yang diambil kira oleh TH adalah sumber pendapatan TH, syarat dikenakan kerajaan Arab Saudi dan kos bantuan yang akan diberikan.

“Jangan dibandingkan dengan negara seperti Indonesia, Singapura dan Brunei kerana masing-masing menawarkan perkhidmatan yang berbeza.

“Seperti diketahui, Malaysia antara pengendali jemaah haji yang mendapat pengiktirafan terbaik dalam setiap pengurusan dilakukan,” katanya.

Katanya, TH juga akan mengambil kira bakal jemaah dari golongan B40 untuk memberi bantuan bersasar supaya mereka juga berpeluang menunaikan rukun Islam kelima ini.

“Apa pun saya berharap semua bakal jemaah haji yang tertunggak pada 2020 akan bersedia, tidak kira berapa pun kuota diberikan oleh kerajaan Arab Saudi, sihat tubuh badan, sudah mendapatkan vaksinasi lengkap, bersiap sedia dari segi fizikal, mental dan kerohanian.

“Siapa pun bakal jemaah haji pada tahun ini, yakinlah hanya Allah saja yang tahu siapa tetamunya pada tahun ini,” katanya.

-Agensi

Oleh Azrina Amri -Wartawan Pelatih Ummah Today

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button