Tiada unsur khianat, jenayah dalam insiden kebakaran di IPD Sepang
SEPANG : Tiada unsur khianat dan jenayah dilaporkan dalam insiden kebakaran di tingkat satu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang membabitkan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan pejabat Pegawai Penyiasat Kanan (S.I.O) semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, Bahagian Siasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang diketuai Penguasa Kanan II Azlan Rahmat selepas selesan menjalankan siasatan di tempat kejadian sehingga pukul 10.30 malam semalam.
Pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran di tingkat satu IPD Sepang yang dilaporkan berlaku kira-kira pada pukul 6 petang semalam.
Menurutnya, kebakaran disyaki berpunca dari pejabat pentadbiran BSJ dan seterusnya merebak ke pejabat bersebelahan iaitu pejabat S.I.O serta bilik mesyuarat BSJ.
“Tiada kertas siasatan yang terbakar,” menurutnya.
Siasatan kebakaran di IPD Sepang itu turut disertai 21 anggota dan unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang berada lokasi sejak 8.30 malam.
Wan Kamarul Azran berkata, pemeriksaan awal mendapati hampir keseluruhan pejabat di BSJ mengalami kerosakan akibat kebakaran tersebut.
“Kerosakan lain yang dikenal pasti adalah seperti gangguan talian Internet kerana kabel fiber optik turut terbakar,” katanya.
– BERNAMA