Covid19DomestikSemasa

COVID-19: Kematian mangsa meningkat

Putrajaya: Kadar kematian membabitkan kumpulan usia 80 tahun dan ke atas yang dijangkiti COVID-19 semakin meningkat terutamanya dalam kalangan warga emas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kadar kematian dalam lingkungan umur itu jauh lebih tinggi, berbanding dengan kumpulan warga emas yang berusia 60 hingga 79 tahun.

Katanya, kadar kematian membabitkan pesakit COVID-19 yang berumur 60 hingga 79 tahun di antara 300 hingga 600 kes bagi setiap 100,000 penduduk, berbanding 80 tahun ke atas adalah 2,000 bagi setiap 100,000 penduduk negara ini.

“Ini kerana individu yang berumur 80 tahun ke atas ini mempunyai daya tahan tubuh yang rendah, menghidapi pelbagai penyakit kronik dan faktor fraility menyebabkan proses penyembuhan dan pemulihan dari jangkitan COVID-19 juga lebih perlahan dan rumit.

“Sejak Minggu Epidemiologi (ME) 3/2022, kadar kemasukan pesakit COVID-19 dalam kalangan warga emas meningkat daripada 1.0 per 100,000 populasi kepada 9.0 per 100,000 populasi pada ME 10/2022.

“Seperti yang diketahui umum, ada dalam kalangan kes COVID-19 yang akan merosot, memasuki Unit Rawatan Rapi (ICU) atau meninggal dunia. Justeru itu, kenaikan kadar kemasukan pesakit COVID-19 dalam kalangan warga emas ke hospital ini amat membimbangkan.

“Data jelas menunjukkan bahawa warga emas yang tiada vaksinasi atau tiada dos penggalak amat berisiko tinggi meninggal dunia akibat COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada ME 1/2022 sehingga ME 10/2022, sejumlah 83,709 kes atau 96.44 peratus direkodkan berada dalam kategori satu atau dua dan ia melibatkan 86,804 kes COVID-19 membabitkan pesakit berusia 60 tahun dan ke atas.

“Selain itu 3,095 kes iaitu 3.56 peratus pula mengalami jangkitan COVID-19 kategori tiga hingga lima, ternyata peratusan bagi liputan vaksinasi yang tinggi dalam kalangan warga emas itu membantu mengurangkan kes COVID-19 dalam kategori serius.

“Namun, liputan dos penggalak perlu dan boleh dipertingkatkan lagi daripada 74.2 peratus supaya golongan warga emas lebih terlindung daripada bahaya komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19.

“Ini kerana, data jelas menunjukkan pada ME 39/2021 hingga ME 9/2022 kadar kematian dalam kalangan penerima dos penggalak juga lebih rendah berbanding kumpulan yang tidak divaksin, lengkap vaksin namun tiada dos penggalak,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, selepas beberapa bulan tahap imuniti individu  dalam badan terhadap virus SAR-CoV2 akan berkurang (waning immunity) selepas menerima vaksin, oleh itu pengambilan dos penggalak itu perlu.

“Begitu juga dengan tahap imuniti semula jadi (natural immunity) seseorang individu terhadap virus ini selepas dijangkiti virus SAR-CoV2. Kajian menunjukkan pengambilan dos penggalak mampu meningkat tahap imuniti bagi memberikan perlindungan optima daripada gejala teruk dan kematian daripada jangkitan COVID-19,” katanya.

Oleh itu, Dr Noor Hisham menasihatkan warga emas berkelayakan yang belum mendapatkan vaksin atau dos penggalak untuk segera mengambil pelalian berkenaan dengan kadar segera.

“Pengambilan dos penggalak ini juga sebagai persediaan apabila negara memulakan fasa peralihan endemik yang dilaksanakan pada 1 April ini. Ketika itu sempadan akan negara dibuka, kedai makan boleh beroperasi sehingga lewat malam serta dan tiada lagi penjarakan fizikal satu meter untuk saf solat jemaah.

“Aktiviti mengimarahkan bulan Ramadan juga akan dibenarkan dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal yang masih diwajibkan. Justeru, bagi memastikan warga emas dapat menyertai dan melakukan aktiviti ini dengan selamat, mereka perlu lengkap menerima vaksinasi dan juga vaksin dos penggalak.

“Anak-anak dan ahli keluarga perlu memainkan peranan yang penting untuk membawa ibubapa, datuk, dan nenek untuk menerima vaksinasi dos primer dan dos penggalak.

“Jika terdapat ibubapa, datuk atau nenek yang masih belum bersedia untuk divaksinasi ataupun belum mengambil dos penggalak, anak-anak dan ahli keluarga perlu bertindak proaktif untuk menasihati dan meyakinkan mereka dengan menunjukkan fakta yang sahih dan tepat berkaitan kepentingan vaksin dan dos penggalak demi keselamatan dan kesihatan mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, Dr Noor Hisham menegaskan pemakaian pelitup muka masih perlu serta individu berkenaan harus melakukan penjarakan fizikal terutamanya sewaktu menghadiri majlis ilmu di masjid seperti tadarus, tazkirah dan seumpamanya walaupun pada 1 April ini saf sudah boleh dirapatkan.

 

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button