HONG KONG : Berikutan jumlah kes kematian akibat jangkitan virus Covid-19 menunjukkan peningkatan mendadak, rumah mayat awam di Hong Kong kini dilaporkan sesak dengan mayat pesakit virus itu.
Menurut laporan Daily Mail, mayat mangsa Covid-19 terpaksa dipindahkan ke dalam kontena.
Gambar yang tular menunjukkan pekerja memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap sedang memindahkan mayat pesakit Covid-19 dari sebuah trak ke dalam barisan kontena yang diletakkan di luar Rumah Mayat Awam Fu Shan.
Hampir sejuta kes jangkitan dan lebih 4,600 kematian akibat Covid-19 direkodkan di Hong Kong kurang daripada tiga bulan selepas penularan varian Omicron di negara itu.
Sebahagian besar kes kematian itu melibatkan populasi warga emas yang masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19.
Seorang wakil dari industri pengebumian memaklumkan kes kematian yang semakin meningkat menjejaskan bekalan keranda di bandar itu.
Menurutnya, setakat ini, hanya 300 keranda yang tinggal dan dijangka kehabisan pada hujung minggu.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam berkata, dua lagi kontena yang membawa muatan keranda akan tiba di Hong Kong tidak lama lagi.
-AGENSI