Kuala Lumpur : Di Malaysia, kripto bukanlah mata wang yang sah untuk digunakan dan bukan instrumen pembayaran yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyatakan wang digital seperti Ethereum dan Bitcoin tidak menunjukkan ciri universal wang dan tidak sesuai digunakan sebagai instrumen pembayaran.
“Secara umum, aset digital bukan penyimpan nilai dan medium pertukaran yang baik. Ini disebabkan keadaan aset digital yang terdedah kepada turun naik harga tidak menentu akibat pelaburan spekulatif, risiko kecurian akibat ancaman siber dan kekurangan dari segi boleh skala.
“Memandangkan teknologi pembayaran dan landskap aset digital semakin berkembang, pihak BNM sedang menilai secara aktif potensi mata wang digital bank pusat (CBDC), termasuk teknologi lejar teragih (DLT) untuk mencapai objektif dasar awam,” katanya.
Beliau menjawab secara lisan kepada soalan yang diajukan dalam dewan rakyat berkaitan kesediaan kerajaan mengiktiraf mata wang kripto dan platform ‘non-fungible tokens’ (NFTs) yang melonjak naik untuk diaplikasikan di negara ini dan secara global.
BNM sudah memulakan kajian CBDC berbilang tahun melalui pembukaan konsep (POC) yang dikatakan oleh Tengku Zafrul.
“Sebagai contoh, BNM sedang bekerjasama dengan Bank for International Settlements Innovation Hub dan bank pusat di Australia, Singapura serta Afrika Selatan menerusi Projek Dunbar untuk mengkaji potensi CBDC bagi menambah baik pembayaran rentas sempadan,” katanya.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today