PendidikanSemasaSyariah

Hak Si Mati Terhadap Harta Yang Ditinggalkan Sebelum Berlakunya Faraid

Tahukah anda, si mati juga masih mempunyai hak ke atas harta mereka sebelum faraid. Apakah hak tersebut?

Sebelum itu ada beberapa perkara penting yang perlu kita lihat sebelum harta si mati diagihkan kepada ahli keluarga sebagai faraid.

Hak utama si mati adalah perbelanjaan dalam pengurusan jenazah. Perbelanjaan tersebut merangkumi, pembelian kain kapan, keranda, upah memandikan jenazah, membawa jenazah ke kubur dan sebagainya.

Hak kedua ialah, waris perlulah menyelesaikan hutang si mati yang berkaitan dengan harta peninggalannya. Dalam bahasa yang mudah, sekiranya si mati masih mempunyai hutang yang melibatkan wang ringgit, atau hutang sesama  manusia ketika hayatnya maka hutang tersebut perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembahagian harta.

Hak ketiga pula ialah, hutang dengan Allah SWT juga perlu diselesaikan seperti, zakat, fidyah, nazar dan sebagainya. Misalnya, si mati mempunyai wang simpanan yang mencukupi haul dan nisab dan tidak sempat keluarkan zakat ketika hayatnya, maka waris akan membayarkan zakat mengikut kadarnya.

Begitu juga halnya  dengan zakat perniagaan, zakat ternakan, zakat pertanian atau zakat fitrah.

Terdapat ayat dalam al-Quran yang menyeru umat Islam membayar dahulu segala hutang si mati sebelum harta diagihkan seperti yang terkandung dalam Surah An-Nisa’ yang bermaksud

“(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.”  (Surah An-Nisa’ 4:11)

Dalam urusan ibadah haji, jika si mati tidak sempat menunaikan haji ketika hidupnya, waris hendaklah mengguruskan upah haji bagi si mati.

Hak keempat, sekiranya si mati mempunyai gadaian atau pembelian barang secara kredit waris si mati perlu melunaskan terlebih dahulu barang tersebut dan jika bernilai ia akan menjadi harta pusaka.

Hak kelima ialah, ahli keluarga perlu menyempurnakan wasiat si mati sekiranya ditinggalkan semasa hayatnya dan perlulah disemak sah ataupun tidak di dalam hukum syarak. Sekiranya, pembahagian wasiat tersebut sah di sisi syarak, wajib bagi waris menunaikannya.

Setelah selesai semua urusan tersebut, baki harta bolehlah dibahagikan mengikut hukum faraid yang ditetapkan.

Justeru itu, mempelajari ilmu faraid sangat digalakkan dalam Islam, kerana dengan ilmu inilah harta pusaka dapat diuruskan dengan sebaiknya. Selain dapat mengekalkan hubungan silaturahim antara keluarga  dan mengelakkan berlakunya  pergaduhan dalam keluarga.

Hikmah terbesar yang boleh diperolehi apabila menguruskan harta berlandaskan syariat Islam dapat mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan kebajikan melalui pengurusan harta yang baik di samping melahirkan rasa syukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

 

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button