
COX’S BAZAR : Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut manakala lebih 2,000 pelarian Rohingya hilang tempat berteduh apabila dua kem terbesar yang menempatkan pelarian tersebut rentung dijilat api, sekitar jam 3:40 petang, semalam.
Merujuk laporan berita The Business Standard, pada awalnya kebakaran berlaku di kem nombor lima penempatan Rohingya di Kutupalong kemudian kebakaran merebak ke kem nombor enam yang terletak bersebalahan.

Lebih memilukan, kem penempatan ini menjadi tempat perlindungan lebih sejuta pelarian Rohingya yang majoriti beragama Islam selepas penghijrahan secara beramai-ramai ekoran kekejaman Myanmar terhadap etnik itu pada tahun 2017.
Menurut Pesuruhjaya Tambahan Suruhanjaya Bantuan dan Pemindahan Pelarian Cox’s Bazar, Samsuddoza Nayan, sejurus insiden kebakaran terjadi empat anggota bomba bergegas ke lokasi bagi mengawal kebakaran.
Bagaimanapun, punca kebakaran masih belum dikenal pasti.
Difahamkan, kebakaran di kem ini merupakan insiden kebakaran yang keenam terjadi sepanjang tahun ini.
Pada Januari, kebakaran yang sama terjadi dengan memusnahkan lebih 1,200 pusat perlindungan dan menyebabkan 5,000 warga Rohingya hilang tempat tinggal.
Pengarah Negara Save the Children di Bangladesh, Onno Van Manen, dalam satu kenyataan berkata faktor infrastruktur rumah yang diperbuat daripada buluh kering menjadi asbab kebakaran boleh berlaku.
“Lebih banyak bahan kalis api mesti digunakan untuk binaan rumah dan bukaan tambahan di pagar perlu dibina supaya pelarian dapat menyelamatkan diri ketika kecemasan.
“Risiko kebakaran di kawasan penduduk padat dan terkurung ini sangat besar, tetapi ia boleh dielakkan dengan sokongan dan infrastruktur yang betul.” ujar Onno Van Manen.