RAMALLAH: Tindakan tentera Israel membunuh remaja berusia 14 tahun di Abu Dis di tenggara Baitulmaqdis itu, diselar oleh Perdana Menteri Palestin, Mohammed Ishtaye, semalam, lapor Xinhua.
Agensi berita rasmi Palestin, WAFA, melaporkan, Ishtaye memberi amaran terhadap kelakuan tentera Israel di wilayah Palestin, tentang kesan bahaya peningkatan pembunuhan dan kematian di lapangan.
Saksi warga Palestin memaklumkan, remaja itu, Yamen Jaffal, cedera parah selepas ditembak tentera Israel dalam pertembungan dengan penunjuk perasaan Palestin.
Dalam serangan itu, askar Israel menyerbu bandar Abu Dis untuk menahan aktivis Palestin.
Katanya, sebelum Jaffal meninggal dunia pihak tentera menghalang ketibaan ambulans Palestin dan menahan remaja itu walaupun mangsa berada dalam keadaan kritikal.
Sementara itu, jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengesan dua warga Palestin melempar bom botol Molotov ke arah pos tentera Israel di kawalan itu.
Tentera Israel kemudian melepaskan tembakan ke arah kedua-dua individu berkenaan, dengan seorang daripadanya cedera, manakala seorang lagi sempat melarikan diri.
Terdahulu, seorang lagi remaja warga Palestin berusia 19 tahun dibunuh polis Israel selepas dia didakwa cuba menikam dua anggota polis Israel di Baitulmaqdis Timur, menurut Radio Israel. – BERNAMA
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today