MOSCOW: Syarikat penerbangan dari Latvia, Lithuania, Estonia dan Slovenia tidak boleh melakukan penerbangan di Russia, susulan penutupan ruang udaranya itu.
Keputusan itu berkuatkuasa sebagai tindakan balasnya susulan sekatan Barat.
Britain sudah melarang syarikat penerbangan utama Russia, Aeroflot daripada terbang di ruang udara negaranya.
Sementara itu, Bulgaria, Poland, Republik Czech, Baltik, Jerman dan Slovenia juga mengambil langkah sama dengan menutup ruang udara mereka kepada syarikat penerbangan Russia.
“Pengendali udara dari negara ini dan/atau berdaftar di dalamnya tertakluk kepada sekatan ke atas penerbangan ke destinasi di wilayah Persekutuan Russia,” kata agensi pengangkutan udara persekutuan, Rosaviation.
Agensi itu maklumkan, penerbangan transit melalui ruang udara Russia juga termasuk dalam sekatan itu.
Semalam, Russia mengumumkan ia juga akan menghalang penerbangan dari Bulgaria, Poland dan Republik Czech.
Lewat semalam juga, syarikat penerbangan nasional Austria, Austrian Airlines mengelakkan memasuki ruang udara negara itu untuk tempoh sekurang-kurangnya tujuh hari dan mengumumkan pembatalan penerbangan ke Russia.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan berkata, sudah mengambil keputusan itu disebabkan situasi kawal selia terkini.
– AFP
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today