Ukraine isytihar darurat 30 hari di seluruh negara
KIEV : Perintah darurat kini dilaksanakan di seluruh Ukraine selepas mendapat kelulusan dari Parlimen, ekoran kembimbangan terhadap pencerobohan oleh tentera Rusia yang semakin memuncak.
Menurut laporan stesen penyiaran Sky News semalam, sekatan pergerakan, perhimpunan, parti-parti politik dan organisasi kini dihalang dan diharamkan demi kepentingan keselamatan negara dan ketenteraman awam sepanjang tempoh sebulan pelaksanaan perintah tersebut.
Ia juga mengharamkan penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan kestabilan negara, selain memberi kerajaan hak untuk melaksanakan perintah berkurung serta melakukan pemeriksaan.
Menurut draf, perintah darurat itu turut menyekat kebebasan pergerakan pasukan simpanan yang dikerah, menghalang petugas media dan membenarkan anggota pasukan keselamatan melakukan pemeriksaan dokumen peribadi.
Perintah darurat itu dilaksanakan selepas beberapa pegawai pertahanan Amerika Syarikat (AS) di Pentagon berkata bahawa tentera Presiden Rusia, Vladimir Putin, telah bersiap sedia untuk melaksanakan apa yang AS percaya sebagai pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine, dengan kira-kira 80 peratus askar berada dalam posisi serangan.
Dalam pada itu, Moscow pula mula memindahkan kedutaannya di sini ketika krisis antara kedua-dua negara terus memuncak.
Pasukan tentera simpanan yang berusia 18 hingga 60 tahun turut dikerahkan untuk bersiap sedia, mengikut arahan yang dikeluarkan Presiden Volodymyr Zelenskyy.
Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk untuk menyatakan Putin akan melancarkan serangan besar-besaran terhadap Ukraine biarpun ratusan ribu tenteranya berada di kawasan sempadan.
Konvoi peralatan ketenteraan termasuk sembilan buah kereta kebal kemudian diarahkan menuju ke Donetsk dari arah sempadan Rusia, demikian menurut seorang saksi.
Dalam pada itu, Putin kelmarin berkata, Moscow kekal terbuka bagi langkah diplomasi, namun ia akan mengutamakan keselamatan negara.
Selain itu, Kyiv turut mengumumkan perkhidmatan ketenteraan wajib kepada semua golongan lelaki dewasa.
-AGENSI