DomestikSemasa

Lelaki maut, langgar lampu isyarat merah

KUALA PILAH: Padah melanggar lampu isyarat merah, seorang lelaki maut akibat dirempuh sebuah kereta di persimpangan Jalan Dato Undang Johol, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 5.50 pagi itu, mangsa, Said Manzawawi Said Kasim, 44, yang menunggang sebuah motosikal, kemudian disahkan maut di lokasi kejadian.

Mangsa didapati meninggal dunia selepas mengalami kecederaan di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, mangsa dirempuh sebuah kereta jenis Atos yang dipandu seorang wanita berusia 36 tahun.

“Pemandu wanita berkenaan dari arah Melang dan dalam perjalanan menghala ke Pasar Pekan Kuala Pilah, manakala mangsa dari arah Juasseh menuju ke arah Tampin.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dipercayai tidak berhenti ketika lampu isyarat merah dan pemandu kereta tidak sempat mengelak sebelum terlanggar mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa maut di lokasi kejadian.

Mayatnya dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, untuk dibedah siasat.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button