KUALA LUMPUR: Bekalan ubat-ubatan dilaporkan mengalami kekurangan dan agak sukar didapati di farmasi komuniti dan kedai serbaneka di ibu negara serta beberapa tempat lain.
Antaranya seperti parasetamol dan ubat-ubatan lain yang lazimnya digunakan bagi melegakan demam dan sakit kepala.
Menerusi tinjauan di premis farmasi komuniti baru-baru ini, bahagian rak yang mempamerkan bekalan ubat didapati kosong berikutan permintaan tinggi daripada pengguna lebih-lebih lagi ketika angka kes COVID-19 yang semakin tinggi sejak kebelakangan ini.
Susulan itu, dipercayai berpunca daripada pembelian meningkat sebagai persediaan mengurangkan kesan sampingan seperti demam, sakit sendi dan sakit kepala selepas menerima suntikan dos penggalak, demikian menurut beberapa pegawai farmasi.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Amrahi Buang yang turut mengesahkan perkara itu berkata masalah kekurangan parasetamol terutamanya membabitkan cap dagang terkemuka tidak hanya berlaku di ibu negara, tetapi juga di beberapa negeri lain.
Jelasnya, perkara itu sudah berlaku sejak beberapa bulan lalu berikutan pembelian yang agak tinggi ketika musim pandemik COVID-19.
Selain itu, mungkin turut berkaitan dengan isu logistik membabitkan pengilang dan pengedar bagi ubat berkenaan.
“Saya dapat info daripada rakan-rakan di seluruh negara, kekurangan ini sudah berlaku beberapa bulan, mungkin boleh dapatkan maklumat daripada syarikat berkaitan sama ada perkara ini berlaku di peringkat pengilangan atau pengedaran.
“Sebab semua yang terbabit dengan pembuatan sama ada membabitkan ramuan bahan, atau peringkat pembungkusan dan logistik akan mempengaruhi ketersediaan stok di seluruh negara,” katanya.
Orang ramai dalam media sosial turut meluahkan kesukaran mendapat bekalan parasetamol antaranya pengguna Facebook Josepihine Joey yang menulis: “Kelmarin siang sampai petang tidak jumpa ubat paracetamol (parasetamol), sambung lagi cari di farmasi, kedai runcit dan supermarket (pasar raya) pun tiada, habis stok”.
Pemilik akaun Twitter @fxizmiller pula dalam ciapannya menulis: “Apa kes susah sangat nak cari panadol actifast ni, jenuh pusing Bangi, Petaling Jaya dan Seremban masa balik kampung last week (minggu lepas), semua habis,” katanya.
Perkara itu turut menyebabkan ada juga yang mengambil inisiatif membeli bekalan ubat berkenaan melalui aplikasi e-dagang seperti Shopee dan Lazada. – BERNAMA
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today