DuniaPalestin

Wartawan Palestin dipecat gara-gara hantaran berunsur anti-semitisme

ANKARA : Wartawan yang dipecat oleh sebuah syarikat penyiar awam Jerman menolak dakwaan antisemitisme dan mendakwa Deutsche Welle menentang kebebasan bersuara.

Wartawan warga Palestin, Maram Salem dan Farah Maraqa yang berasal dari Jordan merupakan antara lima wartawan yang digantung kerja dari Deutsche Welle, mengumumkan awal minggu ini bahawa mereka telah dipecat oleh syarikat itu.

Deutsche Welle memecat kakitangannya selepas siasatan selama dua bulan terhadap kenyataan berunsur “antisemitisme di tempat kerja.”

“Saya baru sahaja dimaklumkan bahawa saya telah diberhentikan daripada kerja saya di Deutsche Welle selepas seorang wartawan dari Jerman telah menerbitkan laporan yang menuduh saya dan rakan-rakan lain sebagai Anti-Semitisme dan Anti-Israel berdasarkan catatan yang kami siarkan di Facebook peribadi kami,” kata Salem di Facebook.

Menurutnya, perkejaannya tidak mempunyai apa-apa hubung kait dengan antisemitisme atau Israel tetapi sebaliknya berkaitan kebebasan bersuara di Eropah.

“Kebebasan bersuara di Eropah adalah ilusi. Banyak garis merah boleh dipalang jika kita bercakap mengenainya.

Helah yang biasa digunakan tidak bertujuan untuk menyembunyikan hantaran daripada Facebook, tetapi untuk menghalang terjemahan automatik daripada mendedahkan apa yang kami katakan kepada beberapa orang di sini yang sentiasa memantau kami dan mengintai kami untuk memecat kami daripada pekerjaan atau diusir dari negara ini,” katanya.

Salem mendakwa dia “dikambing hitamkan” oleh Deutsche Welle.

“Tidak mungkin syarikat media antarabangsa yang kononnya menuntut kebebasan akan memecat pekerja kerana mengkritik kebebasan bersuara di Eropah… Menjadi rakyat Palestin bukanlah Anti-Semitik,” tambahnya.

Maraga juga berkata dia dipecat tanpa mengetahui sebabnya.

“Saya baru sahaja dimaklumkan tanpa penjelasan lanjut bahawa saya akan menerima notis berhenti daripada Deutsche Welle berkuat kuasa serta-merta.

Saya belum lagi dimaklumkan tentang sebab-sebabnya, mahupun diedarkan laporan yang menjadi asas dakwaan ini,” menurut ciapannya di Twitter.

Deutsche Welle menerima kecaman hebat oleh lebih 130 aktivis dan wartawan selepas syarikat itu memutuskan untuk menggantung lima wartawan Arab berikut ciapan lama yang mengkritik Israel dan dasar-dasarnya di Timur Tengah.

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button