DuniaSemasa

Maghribi, dunia ratapi pemergian ‘Little Rayan’

GHRANE: Seluruh dunia terutamanya Maghribi, meratapi kematian Rayan Awram, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas terperangkap selama lima hari di dalam telaga sedalam 32 meter, hari ini.

Penduduk Maghribi dan dunia turut terkejut dengan insiden tragik itu selepas pasukan penyelamat bertungkus-lumus berusaha menyelamatkan kanak-kanak itu yang mendapat jolokan ‘Little Rayan’ dari warga maya seluruh dunia.

Kisah Rayan jatuh ke dalam perigi sejak Selasa lalu mendapat perhatian global dan mencetuskan rasa simpati dalam talian, dengan tanda pagar ‘#SaveRayan’ menjadi trending.

Sepanjang operasi untuk mengeluarkannya dari dasar telaga sepanjang 32 meter, pasukan penyelamat memberi peringatan mereka tidak tahu sama ada kanak-kanak itu masih hidup atau sebaliknya.

Penantian selama lima hari berakhir dengan kesedihan selepas pihak Istana Maghribi mengumumkan Rayan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.

Dalam operasi itu, pasukan penyelamat menggunakan jentolak, menggali tanah merah di sekeliling telaga sehingga ke paras kanak-kanak itu terperangkap dan pasukan penggerudi turut menggali terowong mendatar untuk mencapainya dari bahagian sisi.

Tetapi operasi penggalian menjadi perlahan apabila pasukan penggerudi terpaksa mengorek dengan tangan untuk mengelakkan gegaran yang mungkin menyebabkan tanah runtuh menimpa Rayan.

Ibu bapa Rayan dilihat berjalan menuruni cerun ke dalam terowong mendatar, kelihatan amat sedih sebelum kembali dan menaiki ambulans tanpa sepatah kata manakala penduduk dan orang awam mula meninggalkan lokasi dalam keadaan hiba.

Pemergian Rayan turut mengundang rasa simpati pemimpin dan tokoh dunia termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang turut berkongsi penderitaan dialami Rayan dan keluarganya.

Beberapa pemain berkongsi rasa dukacita mereka seperti pemain tengah AC Milan dari Algeria, Ismael Bennacer dan pemain pertahanan kanan, Paris Saint-German Achraff Hakimi turut bersedih dengan nasib menimpa Rayan dan berkongsi perasaannya di Twitter dan Instagram. – AFP

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

 

Related Articles

Back to top button