Dunia

4 individu termasuk bayi ditemui mati kesejukan di sempadan AS-Kanada

MONTREAL : Akibat cuaca sejuk yang melampau, empat individu termasuk seorang bayi dijumpai dalam keadaan beku yang dipercayai maut kesejukan dalam ribut salji.

Ketika mayat ditemui di tengah-tengah ribut salji itu, suhu mencatatkan serendah -35 darjah Celcius, termasuk dengan mengambil kira angin.

Menurut Polis Diraja Kanada (RCMP), siasatan awal mendapati mereka semua maut akibat terdedah kepada cuaca yang terlalu sejuk.

“Mayat dua orang dewasa dan seorang bayi ditemui kira-kira 12 meter menghala sempadan AS iaitu kira-kira 10 kilometer dari bandar Emerson di tengah Manitoba.

Manakala kemudian mayat seorang lagi lelaki ditemui yang kelihatan seperti remaja.

Penolong Pesuruhjaya Manitoba, Jane MacLatchy, dalam satu sidang akhbar berkata beliau menganggap mereka yang terbabit sebagai ‘mangsa’.

“Kami sangat bimbang percubaan melintas ini mungkin dibantu pihak lain dan ada sebab tertentu kenapa mangsa termasuk seorang bayi ditinggalkan sendirian di tengah-tengah ribut salji dan angin kencang.

“Mangsa ini bukan saja terdedah kepada cuaca sejuk, tetapi juga kawasan terbuka yang luas diselubungi kegelapan dan ditimbuni salji,” katanya.

Lokasi tragedi adalah kawasan laluan biasa pendatang asing iaitu beberapa meter dari sempadan Amerika Syarikat (AS).

Tambah MacLatchy, Emerson berada dalam laluan yang biasanya digunakan pendatang untuk bergerak antara AS dan Kanada, namun cubaan itu berkurangan sejak setahun ini kerana sempadan ditutup akibat wabak COVID-19.

– AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button