KARACHI : Sekurang-kurangnya 16 pelancong maut dalam cuaca sejuk bersalji selepas kenderaan mereka terkandas di utara Pakistan.
Menurut pihak berkuasa, Murree yang terletak 64 kilometer di timur laut Islambad diisytiharkan sebagai kawasan bencana berikutan kira-kira 1,000 kenderaan didapati masih terkandas di situ.
“Krisis besar tercetus selepas buat pertama kali dalam tempoh 15 hingga 20 tahun, jumlah pelancong begitu ramai berpusu-pusu untuk ke Murree,”
“Pasukan tentera dan pihak berkuasa yang lain telah dikerahkan untuk membantu dalam operasi menyelamat”, kata Menteri Dalam Negeri Pakistan, Sheikh Rashid Ahmed.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa setakat ini tidak memberi sebarang maklumat mengenai punca kematian.
Bagi menghentikan kemasukan pelancong, semua jalan menuju ke bandar peranginan di atas bukit tersebut terpaksa diutup.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Imran Khan melahirkan rasa terkejut dan telah mengarahkan siasatan serta pelaksanaan peraturan yang lebih tegas bagi memastikan tragedi itu tidak berulang.
Salji, yang bermula pada malam Selasa telah menarik ribuan pelancong ke kawasan berkenaan. Jumlah pelawat yang ramai menyebabkan kesesakan dan ramai terkandas di jalan raya.
Media tempatan melaporkan lebih 100,000 kenderaan memasuki kawasan tersebut.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan mangsa, termasuk kanak-kanak, terbaring kaku dalam kenderaan yang dilitupi salji.
“Adakah kematian disebabkan oleh cuaca sejuk atau keracunan karbon monoksida (CO)?” tulis Dr Faheem Yonus dari University of Maryland UCH, dalam satu ciapan.
“CO tidak berbau, boleh membawa maut jika kereta terbiar dalam salji, ekzos yang tersumbat (penyenyap) boleh membunuh penumpang dengan cepat,” tambahnya.
-AGENSI