DUBAI : Masjid dan majlis perkahwinan di Kuwait melaksanakan semula sekatan Covid-19 berikutan kemunculan varian Omicron yang menyebabkan lonjakan bilangan kes jangkitan.
Menurut laporan Arab News, penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, membawa sejadah serta mengelakkan berlaku kontak rapat adalah peraturan yang perlu diamalkan oleh pengunjung masjid.
Ketika solat dan majlis lain sedang berlangsung, pihak masjid juga diarahkan untuk memastikan bahawa pintu dan tingkap sentiasa dibuka.
Sementara itu, hanya enam individu sahaja dibenarkan menghadiri majlis perkahwinan di kawasan masjid yang akan berkuatkuasa bermula 9 Januari depan.
Kerajaan Kuwait juga melarang sebarang perhimpunan awam di tempat tertutup bermula 9 hingga 28 Februari depan.
Dalam pada itu, Kuwait merekodkan 2,413 kes Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, dengan bilangan kes keseluruhan sebanyak 425,455.
-AGENSI