Semasa

Wanita Arab Saudi diberi kebenaran menjadi pemandu teksi

JEDDAH : Wanita Arab Saudi telah diberi kebenaran memohon bagi menjadi pemandu teksi, kurang daripada empat tahun selepas diberi kebebasan memandu.

Direktorat Am Trafik Saudi mengesahkan berita itu di Twitter bahawa wanita boleh memohon “lesen teksi generik” di mana-mana daripada 18 sekolah memandu di seluruh kerajaan, termasuk Riyadh, Jeddah, Jazan, Asir, Najran, Jouf, Hail, dan Taif.

Bayaran bagi memohon lesen ialah SR200 ($53), menurut agensi itu.

Latifah Al-Shalhoub, seorang artis, memberitahu Arab News bahawa dia bersetuju dengan pengumuman itu.

“Sebagai seorang wanita, saya sentiasa menghadapi masalah dengan isu ini. Saya tidak pernah berasa selamat menaiki teksi bersendirian dengan pemandu lelaki. Sekurang-kurangnya dengan Uber dan Careem, anda boleh mengetahui serba sedikit tentang pemandu itu sebelum anda masuk,” jelasnya.

Menurut penterjemah Aseel Atif, ia akan memberikan wanita peluang yang lebih besar dalam bidang pekerjaan.

“Saya percaya berita ini akan membantu ramai wanita mencari pekerjaan,” tambahnya.

“Saya suka memandu dan akan seronok bekerja sebagai pemandu teksi.”

Sejak diberi hak memandu pada 2018, beberapa kerjaya dalam bidang pengangkutan telah dibuka kepada wanita Saudi, termasuk memandu kereta api, pesawat terbang dan juga kereta lumba.

Keputusan itu juga membenarkan wanita bekerja sebagai pemandu untuk aplikasi pengangkutan seperti Uber dan Careem.

AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button