DuniaSemasa

Kereta api kargo Pakistan-Iran-Turki tiba di Ankara selepas 13 hari

Ankara : Selepas terhenti selama 10 tahun, perkhidmatan kereta api kargo antara Turki, Iran dan Pakistan telah dilancarkan semula sebagai galakan perdagangan antara ketiga-tiga negara dalam rantau tersebut.

Kereta api Islamabad-Tehran-Istanbul (ITI) pertama telah tiba di Turki dengan  membawa barangan dari Pakistan, melalui Iran, selepas disambung semula operasinya.

Dalam satu majlis yang diadakan di ibu negara Turki bagi menyambut ketibaan kereta api pada hari Rabu, Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Turki Adil Karaismailoglu berkata, kereta api baharu itu akan menawarkan pilihan baharu kepada perindustrian dan ahli perniagaan di laluan Pakistan-Iran-Turki.

“Ia akan menjimatkan masa dan kos berbanding pengangkutan laut antara Pakistan dan Turki, yang mengambil masa 35 hari, dan akan membawa kepada pembangunan perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya.

“Oleh itu, dengan kereta api Islamabad-Tehran-Istanbul, landasan kereta api baharu akan disediakan kepada pengeksport kami di selatan Asia—mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di seluruh dunia—mencapai Pakistan, negara jiran India, China, Afghanistan dan Iran.

Dengan cara ini, negara kita akan selangkah lebih dekat kepada matlamatnya bagi menjadi jambatan dan pangkalan logistik antara Asia dan Eropah,” tambah Karaismailoglu.

Ahli Perhimpunan Kebangsaan Pakistan Makhdoom Zain Hussain Qureshi, dan Duta Besar Iran ke Turkiye Mohammad Farazmand menghadiri majlis itu.

Peluang untuk meningkatkan eksport

Qureshi menekankan bahawa kereta api ITI akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan serantau dan menggalakkan aktiviti ekonomi dan komersial di rantau ECO (Economic Cooperation Organization).

Qureshi menambah bahawa kereta api itu akan menawarkan Pakistan peluang meningkatkan lagi eksportnya dan mengukuhkan hubungannya dengan pasaran antarabangsa, termasuk di Eropah.

“Kerajaan semasa di Pakistan percaya pada ketersambungan serantau dan kami merasakan bahawa untuk memainkan peranan di peringkat nasional, kami perlu handal dari segi ekonomi, katanya, sambil menambah, “Untuk melakukan itu, kami bukan sahaja perlu mempunyai keamanan dalam negara kami tetapi juga meningkatkan perdagangan dengan kejiranan kami dan projek ITI ini akan menjadi projek persahabatan.”

“Kami mendapat akses kepada pasaran Eropah dan Turki mendapat akses ke negeri-negeri Asia tengah jadi ia adalah pengaturan yang saling menguntungkan dan saya berharap ia akan mampan dan kami boleh berkembang daripadanya lagi,” kata Qureshi kepada Agensi Berita Anadolu.

Related Articles

Back to top button