JAWI saran anjur solat hajat, doa selamat, bacaan Yasin menjelang 2022
KUALA LUMPUR : Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyeru agar semua masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menganjurkan solat Hajat, bacaan Yasin, Tahlil dan doa selamat pada 31 Disember 2021 (Jumaat) selepas solat Maghrib.
Pengarahnya, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail dalam satu kenyataan berkata ia bertujuan untuk memohon perlindungan Allah SWT dan kesejahteraan untuk negara Malaysia khususnya warga Wilayah Persekutuan dalam menghadapi tahun baharu 2022 yang akan tiba.
“Marilah kita semua berdoa agar Allah SWT melimpahkan keamanan dan kemakmuran yang berpanjangan keapda negara Malaysia tercinta serta memelihara negara daripada segala musibah, bencana dan penularan wabak penyakit berbahaya.
“Zahirkanlah sifat kesyukuran di atas nikmat kurniaan Allah SWT dengan mengekalkan suasana keharmonian, kesepaduan dan keprihatinan dalam kehidupan bermasyarakat,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.