24 bangkai badak sumbu ditemui di Afrika Selatan hanya dalam masa 2 minggu
JOHANNESBURG : Sebanyak 24 bangkai badak sumbu telah ditemui di seluruh Afrika Selatan sejak 1 Disember, Jabatan Perhutanan, Perikanan dan Alam Sekitar berkata menerusi ciapan di Twitter semalam.
Jabatan itu berkata tujuh bangkai ditemui di Taman Negara Kruger, salah satu rizab haiwan terbesar di Afrika, tujuh di wilayah Mpumalanga, enam di KwaZulu-Natal dan empat di wilayah Western Cape.
Jabatan itu mengecam pemburuan haram badak sumbu untuk tanduknya yang berterusan dan mendedahkan sembilan pemburu haram telah ditangkap sejak awal Disember.
The truth of the matter is that 24 #rhino carcasses have been found in South Africa since 1 December 2021. @News24 @TimesLIVE @SABCNews
— Environmentza (@environmentza) December 14, 2021
Afrika Selatan adalah tempat tinggal kepada hampir 80% daripada badak sumbu dunia dan kini terdapat kurang daripada 30,000 ekor badak Afrika yang tinggal, dengan populasi terbesar di Taman Negara Kruger.
Pada Julai, Menteri Alam Sekitar Barbara Creecy berkata 249 ekor badak sumbu telah dibunuh di negara ini untuk tanduknya dalam enam bulan pertama 2021.
Creecy mengaitkan peningkatan dalam pemburuan haram disebabkan pelonggaran sekatan penutupan Covid-19 di negara ini.
Pada separuh pertama tahun 2020, 166 badak sumbu telah dibunuh, manakala dalam enam bulan pertama tahun 2019, apabila tiada sekatan penguncian, 318 ekor badak sumbu telah diburu.
Menteri itu berkata, jumlah tertinggi insiden pemburuan haram berlaku di Taman Negara Kruger, di mana 132 ekor badak sumbu diburu dan seekor gajah dibunuh.
Beliau berkata beberapa tangkapan telah dibuat dan mereka yang bertanggungjawab didakwa dalam tempoh enam bulan lalu.
Di beberapa negara Asia, tanduk digunakan untuk ubat-ubatan tradisional atau sebagai simbol status untuk orang kaya.
Jabatan alam sekitar berkata ia akan memberikan maklumat terkini tentang jumlah keseluruhan badak sumbu yang dibunuh untuk tanduknya pada 2021 pada awal 2022.