PETALING JAYA : Kes pertama positif Covid-19 varian Omicron telah dikesan di negara ini, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semasa sidang media khas hari ini.
Beliau berkata kes tersebut melibatkan seorang pelajar yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan dan sudah diarah menjalani kuarantin diri.
“Seorang pelajar universiti swasta di Ipoh berusia 19 tahun itu, tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu dan menjalani ujian Rt-PCR setibanya di KLIA.
“Ujian tersebut mendapati pelajar terbabit diperintah menjalani pengawasan dan pemerhatian mengikut Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.
Menurutnya, kontak rapat individu berkenaan juga menjalanai saringan dan keputusannya kesemuanya adalah negatif.
“Pengesanan kontak rapat dijalankan terhadap semua penumpang dan pemandu bas iaitu seramai lima orang. Mereka juga menjalani saringan ujian Covid-19 dan kuarantin wajib.
Dalam pada itu, ujian saringan positif Covid-19 itu disahkan oleh pihak Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan Ct Value 26.68 pada 20 November.
Pelajar terbabit meneruskan kuarantin di rumah sama selama 10 hari dan diberi pelepasan pada 29 November.
‘Ujian sampel pertama dan kedua ke atas semua kontak rapat disahkan negatif,” katanya.
Oleh Hafeez Anuar