KABUL : Pengorbanan seorang bapa di Afghanistan mencuri perhatian ramai apabila sanggup merentas perjalanan sejauh 12 kilometer (km) demi memberi pendidikan yang sempurna buat kedua-dua anak perempuannya.
Mia Khan, 63, berasal dari wilayah tenggara Paktika bukan sahaja menghantar anaknya malah, beliau juga akan menunggu selama empat jam sehingga anak-anaknya tamat sesi persekolahan.
“Setiap hari saya bawa mereka menaiki motosikal ke sekolah. Saya membeli motosikal itu untuk mereka supaya saya boleh membawa mereka ke sana ke mari. Saya cuba sebaik mungkin. Saya berazam untuk menyediakan pendidikan yang sempurna buat mereka.” katanya kepada media antarabangsa.
Rutin sebegini dilakukan setiap hari biarpun ada kala beliau perlu berjalan kaki menghantar anaknya, namun, demi ilmu apa sahaja sanggup beliau harungi.
Khan mempunyai tiga anak lelaki dan lapan anak perempuan. Tiga anak perempuannya bersekolah dan selebihnya masih muda.
Berdasarkan laporan berita VOA, Khan sudah bertahun tidak bekerja kerana menghidap komplikasi jantung.
Isterinya Khorma, yang menjadi tulang belakang keluarga itu, menyara kehidupan mereka dengan bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hospital.
“Suami saya jatuh sakit, jantungnya tidak berfungsi seperti dahulu dan doktor memberitahu kami bahawa dia tidak boleh bekerja. Dia terpaksa tinggal di rumah dan saya mula bekerja di hospital sebagai tukang cuci. Ketika itulah kami memutuskan bahawa kami akan memastikan anak perempuan kami mendapat pendidikan yang sebaiknya,” kata Khorma.
Khorma turut menyedari bahawa ilmu itu ibarat cahaya yang mampu menyuluh dalam kegelapan.
Mia Khan telah dinobatkan sebagai ‘Hero Pendidikan’ oleh Menteri Pendidikan, Mirwais Balkhi.
Bukan itu sahaja, sebuah sekolah akan dibina di selatan Afghanistan dengan menggunakan namanya bersempena dengan pengorbanan yang beliau lakukan demi memberi pendidikan kepada anak-anaknya.
Namun konflik di Afghanistan seringkali menimbulkan kesukaran buat kanak-kanak perempuan untuk mendapatkan pendidikan yang sewajarnya.
Kawasan luar bandar mempunyai sekolah yang terhad, faktor keselamatan, kekurangan tenaga pengajar dan budaya yang memaksa kanak-kanak perempuan untuk tidak ke sekolah menjadi punca.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dianggarkan 3.7 juta kanak-kanak tidak bersekolah di Afghanistan dan 60 peratus daripadanya adalah perempuan.
Oleh Nurshazlin Shahrom