ROM : Individu yang tidak mengambil vaksin Covid-19 dilarang untuk menjalankan beberapa aktiviti dalam usaha membendung peningkatan jangkitan dan mengelakkan penutupan semula sektor ekonomi.
Individu yang dibenarkan makan di restoran tertutup dan menonton wayang atau menyertai acara sukan perlu mempunyai bukti vaksinasi atau pulih dariapada Covid-19 dan akan berkuatkuasa pada 6 Disember ini.
Arahan baharu kerajaan juga mewajibkan vaksinasi untuk penguatkuasa undang-undang, tentera dan semua pekerja sekolah.
Perdana Menteri Mario Draghi berkata langkah itu perlu bagi mengelakkan peningkatan jangkitan dan mengekalkan keuntungan yang dicapai Itali dalam memulihkan ekonomi ketiga terbesar Kesatuan Eropah (EU).
Itali menyaksikan peningkatan jangkitan tetapi merekodkan sekitar 10,000 kes baharu dan kurang daripada 100 kematian sehari.
Lebih 84 peratus daripada penduduk yang berusia 12 tahun ke atas telah diberi vaksin sepenuhnya di negara itu.
Matlamat langkah baharu itu adalah untuk menghalang penutupan menyeluruh seperti perintah berkurung daripada kembali semula.
Arahan baharu itu akan membenarkan restoran dan tempat lain untuk terus dibuka walaupun kes meningkat dan hospital penuh, tetapi hanya kepada mereka yang mempunyai bukti vaksinasi atau telah pulih daripada COVID-19.
Arahan itu menyeru pihak berkuasa tempatan untuk merangka kawalan yang dipertingkatkan dan melaporkan setiap minggu kepada Kementerian Dalam Negeri tentang bagaimana mereka akan menguatkuasakan langkah baharu itu.
-AGENSI
Oleh Hafeez Anuar