DuniaSemasa

Ribuan tentera India dikerahkan di Kashmir

SRINAGAR : Susulan pembunuhan terancang yang dipercayai didalangi puak pemberontak sejak kebelakangan ini, India bertindak mengerahkan ribuan lagi anggota separa tentera ke Kashmir.

Sekurang-kurangnya 500,000 tentera telah ditempatkan di wilayah dekat Himalaya itu sejak berdekad lalu, yang turut dikawal sebahagiannya oleh negara jirannya, Pakistan.

Jurucakap Pasukan Polis Simpanan Pusat (CRPF), Abriham Pankaj, berkata sekitar 2,500 anggota sudah tiba dan mereka dikerahkan ke seluruh lembah Kashmir, dengan lebih ramai lagi dalam perjalanan ke kawasan terbabit.

Mulai minggu ini juga sekitar 5,000 anggota separa tentera tambahan dikerahkan, termasuk Pasukan Keselamatan Sempadan India (BSF).

Hal ini sekali gus mengingatkan kembali era 1990-an tatkala pemberonanan bersenjata menentang India sedang memuncak berikutan segelintir anggota ditempatkan di dewan komuniti awam yang diperkukuhkan dengan benteng beg pasir.

Pemberontakan berkenaan menyepi sejak kebelakangan ini selepas puluhan ribu individu, kebanyakannya orang awam, terbunuh dalam konflik terbabit.

Kes pembunuhan terancang termasuk polis, buruh asing dari negeri utara India dan ahli setempat daripada komuniti Sikh serta Hindu telah mengorbankan sejumlah 12 orang.

Puak pemberontak yang terbabit dalam peperangan menuntut kemerdekaan Kashmir sejak 1989 atau penggabungan bersama Pakistan, dipercayai menjadi dalang di sebalik serangan ini.

Segelintir individu yang terbunuh dituduh oleh puak pemberontak tempatan, Resistance Front, sebagai anggota pasukan keselamatan.

Polis dan anggota separa tentera berpakaian jaket kalis peluru serta memegang senapang automatik dilihat mempergiatkan pemeriksaan dalam kalangan penduduk, termasuk kanak-kanak di jalanan.

Kashmir yang dihuni majoriti penduduk Islam berdepan konflik antara India dan Pakistan, sejak mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British pada 1947.

Untuk rekod, sejak Ogos 2019, kemarahan semakin memuncak di wilayah berkenaan susulan New Delhi menarik balik dasar separa autonomi separa dan mengembalikan Kashmir di bawah pemerintahan langsung kerajaan pusat.

 

– AGENSI

 

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button