Anak kucing di dalam enjin, dari Melaka sampai ke Bangi diselamatkan oleh Task Force MAPIM

Bangi : Pasukan Task Force MAPIM Malaysia bukan sahaja membantu mangsa banjir dan menghulurkan sumbangan untuk mereka yang memerlukan, khidmat mereka juga diperlukan bagi menyelamatkan seekor anak kucing.
Seekor anak kucing telah bersembunyi dan terperangkap di bahagian enjin kereta milik Tuan Zulfadli, seorang sukarelawan MAPIM. Beliau percaya itu adalah anak kucing milik jirannya di Seremban 2.
Menurut Zulfadli, “Saya yakin ini anak kucing jiran saya. Saya pun hairan, sebab saya terpaksa ke Melaka dahulu dan dari Melaka barulah saya datang ke pejabat di Bangi. Berapa jauh dan lama anak kucing itu di situ. Alhamdulillah ia selamat.”
Beliau hanya perasan semasa hendak pulang dari kerja, dan mendengar bunyi kucing dari balik enjinnya. Selepas diperiksa ada seekor anak kucing di bahagian enjin.
Oleh kerana kedudukan anak kucing itu tersorok dan sukar dicapai, beliau meminta bantuan daripada pasukan Task Force MAPIM, yang akhirnya dapat menyelamatkan anak kucing itu. Pasukan Task Force MAPIM mengambil masa kurang 20 minit bagi menyelamatkan anak kucing itu.
Dalam hal berkaitan, pasukan Task Force MAPIM sudah berada dalam keadaan siap siaga 24 jam bagi turun membantu mana-mana kawasan di seluruh Malaysia yang dilanda banjir akibat akibat perubahan angin monsun.