Semasa

Air Sungai Ketil melimpah, 149 penduduk terpaksa dipindahkan

BALING: Seramai 149 penduduk membabitkan 51 keluarga dipindahkan ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini, selepas air Sungai Ketil melimpah dan menyebabkan banjir sejak malam tadi.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim, paras Sungai Ketil melepasi paras bahaya sejak petang semalam sehingga pagi ini.

Tambah beliau, PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putera, SK Siong, SK Bandar, SK Tanjung Pari, SK Bayu dan SK Titi Gantung.

Keadaan rumah yang musnah dan dinaiki air akibat limpahan Sungai ketil

 

 

“Turut dibuka adalah PPS Dewan Banggol Derum, Bongor dan PPS Maktab Mahmud Baling dibuka awal pagi tadi.

“Sehingga kini, kebanyakan kawasan masih dilanda banjir dan proses pemindahan mangsa masih dilakukan,” katanya ketika dihubungi.

Rasidah berkata, banjir setakat ini menjejaskan tujuh mukim iaitu pekan Baling, Bongor, Siong, Bakai, Pulai, Teloi dan Kupang.

“Semua agensi keselamatan diletak dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kebimbangan hujan lebat berterusan hari ini.

“Proses pemindahan penduduk akan terus dilakukan dan kita masih memantau keadaan Sungai Ketil,” katanya.

Antara agensi terbabit adalah polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) , polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sumber asal Berita Harian

Disunting oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button