Kanak-kanak lelaki enam tahun hilang dari kawasan perumahan di Gopeng
IPOH : Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dipercayai hilang selepas keluar dari rumahnya di Lorong Jaya, Taman Kinta Baru, Gopeng di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kampat Supt Hasron Nazri Hashim berakta mangsa, Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid seorang kanak-kanak autisme dengan masalah hiperaktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap, disedari hilang oleh ibunya kira-kira pukul 6.30 petang.
“Polis telah menemubual ibu mangsa, Nur Shamimi Abdul Malek yang menyatakan telah menyedari anak lelakinya itu tiada di ruang tamu rumah dan terus mencari di taman hadapan rumah pada jarak kira-kira 50 meter daripada rumah.
“Namun, setelah hampir 10 minit mencari tetapi tidak berjumpa. Kemudian ibu mangsa balik ke rumah dan meminta bantuan daripad jirannya untuk mencari di sekitar taman perumahan itu lebih kurang 10 minit, tetapi masih tidak berjumpa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan pihaknya mendapati pintu depan rumah dan pintu pagar terbuka serta tidak berkunci semasa kejadian.
Hasron Nazri berkata pakaian terakhir mangsa sebelum hilang adalah berbaju T-shirt BoBoiboy bewarna hijau dan memakai lampin pakai buang.
Beliau berkata Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak tiba di tempat kejadian pada pukul 12.10 tengah malam tadi, selepas pihaknya menerima laporan pada pukul 10.07 malam.
“Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan perkembangan lanjut akan dimaklumka dari semasa ke semasa,” katanya.
-BERNAMA