Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews
Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah
Platform medsos : https://linktr.ee/UmmahToday
ATHENS: Pihak polis Greece menembak gas pemedih mata bagi menghentikan keganasan dalam kalangan penunjuk perasaan di Athens.
Kira-kira 7,000 orang menyertai tunjuk perasaan berkenaan bagi membantah peraturan baharu yang mewajibkan pekerja kesihatan disuntik vaksin Covid-19.
Perubahan peraturan yang berkuatkuasa Rabu lalu itu mewajibkan semua kakitangan yang bekerja di hospital untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Greece dan membawa papan tanda yang tertulis ‘Kami tidak menentang vaksin tetapi menentang fasisme’ dan ‘Hidup demokrasi’.
Teradahulu, kerajaan Greece mengumumkan pelbagai larangan baharu dan ujian percuma bagi mereka yang belum menerima suntikan Covid-19, yang akan berakhir bulan depan, dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi berikutan penyebaran varian Delta.
Ketika ini, 99 peratus pesakit yang teruk dijangkiti dan mereka yang terpaksa dimasukkan tiub di hospital ialah daripada golongan yang tidak divaksinasi.
Lebih 5.7 juta daripada 10.7 juta penduduk Greece sudah menerima vaksinasi lengkap COVID-19 dan setakat ini, 13,600 mangsa maut akibat coronavirus di negara itu sejak pandemik bermula.
Walau bagaimanapun, ratusan petugas barisan hadapan Greece melakukan protes pada Khamis terhadap rancangan untuk mewajibkan pengambilan vaksin bagi sektor kesihatan pada 1 September.
Oleh Hafeez Anuar