Tarikh pembukaan sekolah dilewatkan ke 3 Oktober depan
KUALA LUMPUR : Tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilewatkan ke 3 Oktober berbanding 1 September seperti yang diumum sebelum ini.
Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, bagaimanapun pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN.
Beliau berkata bagi negeri-negeri Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi Fasa Tiga, pembukaan penuh dibenarkan.
“Ini adalah berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN)…jadi, kita tidak boleh menyatakan 1 September akan buka semua (sekolah). Keselamatan murid adalah keutamaan kerajaan.
“Sasaran dan hasrat kita pada 1 September (untuk pembukaan sekolah) namun tertakluk kepada penilaian risiko yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN dengan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Radzi berkata keadaan semasa negeri termasuk kadar vaksinasi dan kapasiti fasiliti kesihatan juga berlu diambil kira sebelum sebarang keputusan mengenai pembukaan semula sekolah dicapai.
Beliau berkata keputusan akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh pembukaan semula sekolah.
Radzi turut mengulas inisiatif bagi murid yang ketinggalan sekiranya sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan.
“Bagi murid Tahun Satu dan Dua yang mungkin agak ketinggalan dari segi pembacaan literasi dan numerasi, kita sediakan program pembugaran bagi membolehkan mereka menguasai tahap minimum,” katanya.
Pada 17 Julai lepas, KPM memaklumkan ketetapan pembukaan sekolah secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September selepas mengambil kira kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan sekolah.
Bagaimanapun, KPM turut menyatakan penilaian risiko oleh KKM dan MKN diambil kira sekiranya terdapa keperluan untuk perubahan terhadap tarikh itu.
-BERNAMA
Oleh Hafeez Anuar