Semasa

Penagih dadah bakar rumah sendiri

Yan: Polis menahan seorang lelaki dipercayai penagih dadah yang membakar rumahnya sendiri di Kampung Selengkoh Tengah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, suspek berusia 51 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan kebakaran yang berlaku dipercayai berunsur khianat, pada 9.24 malam.

“Sepasukan anggota ke lokasi dan berdasarkan keterangan ibu suspek, sebelum kejadian, lelaki itu ada meminta pemetik api daripadanya, pada 7.30 malam.

“Ketika itu suspek mengamuk dan memarahi ibunya, menyebabkan wanita itu memberi pemetik api sebelum dia beredar.

“Namun, wanita berkenaan mendakwa ternampak anaknya membakar sehelai kain dan meletakkannya di dalam almari berisi pakaian di tingkat atas rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahnaz berkata, wanita berkenaan juga mengaku anaknya seorang penagih dadah tegar dan sering mengamuk.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan reman dimohon mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 9.18 malam.

Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan dan Guar Chempedak dikerah ke lokasi dan kebakaran membabitkan rumah dua tingkat yang musnah 70 peratus.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kes diserahkan kepada pasukan Forensik JBPM Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya yang memberitahu operasi tamat pada 11.05 malam.

-HARIAN METRO

Related Articles

Back to top button