SANAA : Pemberontak Houthi di Yaman mendakwa telah menguasai dua daerah di wilayah Al-Bayda.
Dakwaan itu disampaikan pemberontak yang disokong Iran itu pada Jumaat (30/7/2021).
Jurucakap pemberontak Houthi, Yahya Sarea, mengatakan dua daerah tersebut adalah Noman dan Nateh.
Pengumuman tersebut disampaikan ketika pihak-pihak yang bertikai di Yaman mengerahkan bala bantuan ke daerah berhampiran Bayhan, wilayah Shabwa, awal minggu ini.
Seorang sumber memberitahu AFP, kedua-dua belah pihak mengirim tentera ke pinggiran Bayhan setelah Houthi dilaporkan menguasai dua daerah di wilayah Al-Bayda.
Jika Bayhan juga jatuh ke tangan pemberontak, ancaman besar bagi pemerintah Yaman akan menanti.
Ini kerana, Bayhan merupakan wilayah strategik yang terletak berhampiran Marib, benteng terakhir pemerintah Yaman di utara.
Sebelumnya, pada Februari, pemberontak Houthi meningkatkan serangan mereka bagi merebut Marib. Serangan tersebut menewaskan ratusan orang dari kedua-dua belah pihak.
Jika berhasil menguasai wilayah yang kaya minyak tersebut, Houthi akan mempunyai posisi tawar-menawar yang sangat kuat dalam rundingan damai.
Pertempuran itu juga telah menimbulkan kekhuatiran bencana kemanusiaan yang lebih besar.
Konflik Yaman tercetus pada 2014 ketika Houthi berjaya menguasai ibu kota Yaman, Sanaa.
Perang saudara tersebut mendorong campur tangan pasukan asing yang dipimpin Arab Saudi untuk menyokong pemerintah Yaman pada tahun berikutnya.
Konflik yang berlangsung selama bertahun-tahun tersebut telah mengorbankan puluhan ribu orang dan menyebabkan 80 peratus warga Yaman bergantung pada bantuan.
Bahkan, PBB menyebut konflik di Yaman memicu krisis kemanusiaan terburuk di dunia.