Pelajar Asasi, Diploma jalani sesi akademik secara dalam talian mulai Ogos – KPT
KUALA LUMPUR : Pengajaran dan pembelajaran pelajar baharu program Asasi dan Diploma, Sesi Akademik 2021/2022 akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian bermula pada Ogos 2021.
Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan berkata keputusan itu diambil kira berdasarkan situasi semasa dalam negara ketika penularan Covid-19.
Walau bagaimanapun, Universiti Awam (UA) boleh mempertimbangkan kemasukan pelajar Asasi dan Diploma ke kampus secara fizikal bermula pada Oktober 2021 atau pada semester berikutnya bergantung kepada kesediaan dan ketetapan UA masing-masing.
KPT turut memaklumkan pihak mereka komited dalam menjayakan aspirasi kerajaan semasa Pelan Pemulihan Negara bagi menangani penularan wabak Covid-19.
Dalam pada itu, para pelajar dan ibu bapa boleh hubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/6628 untuk pertanyaan lanjut.
Mereka juga boleh layari laman web IPT atau terus menghubungi Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing.
Oleh Hafeez Anuar