Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews
Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah
Damsyik : Empat tahun selepas perang di kota Raqqa, Syria utara, ada penduduk yang masih tinggal di rumah mereka yang hancur dengan ketiadaan fasiliti asas seperti air bersih, eletrik, dan pendidikan.
Raqqa pernah menjadi ibu kota wilayah kekuasaan ISIS di Syria, yang pada 2017 menjadi sasaran serangan udara dan darat oleh koalisi yang dipimpin AS bagi melawan ISIS bagi merebut penguasaan kota.
Pada puncak kempen ketenteraan, Raqqa menghadapi 150 serangan udara sehari, menyebabkan kerosakan besar pada infrastruktur dan bangunan, dan hingga saat ini masih terlihat runtuhannya.
“Anak-anak dan keluarga mereka di Raqqa hidup setiap hari di kota yang hancur, dengan pilihan terbatas, di tengah musim kemarau, pandemik, dan krisis ekonomi di seluruh Syria,” ujar Sonia Khush, Pengarah Respons Syria untuk Save the Children.
Laporan Save the Children yang dipetik dari Al Jazeera pada Selasa (27/7/2021), memperkirakan setidak-tidaknya 36 peratus bangunan kota tersebut hancur.
Musim kemarau di Syria utara telah menyebabkan krisis kesihatan masyarakat seiring dengan laporan yang meningkat tentang penyakit yang ditularkan melalui air (waterborne) dan cabaran dalam mencegah penyebaran Covid-19.
Ketika ribuan orang kembali ke kota, tiga perempat penduduk Raqqa masih bergantung pada bantuan bagi membeli makanan serta barangan asas lainnya.
Aida, seorang janda dan ibu 4 anak tinggal di Raqqa bersama dengan anak-anaknya di rumah yang rosak teruk, yang tidak punyai air dan elektrik.
Wanita berusia 27 tahun itu melarikan diri ke Aleppo pada 9 tahun lepas. Sekarang, setelah kembali ke Raqqa, dia takut membiarkan anak-anaknya bermain di luar.
“Saya takut ketika anak-anak keluar kerana mereka mungkin cedera, jadi saya tidak membiarkan mereka keluar,” ujar Aida kepada Save the Children.
“Ada bangunan yang hancur di sini dan saya khuatir akan ada sesuatu (seperti jerangkap samar) di bawahnya. Anda tidak pernah tahu. Saya berusaha menjauhkan mereka dari (ancaman) itu,” terangnya.
Menurut Save the Children, konflik membuatkan sektor pendidikan di Raqqa hancur, 80 peratus sekolah rosak.
Kush menyeru “respons kemanusiaan yang substantif” dari masyarakat antarabangsa, terutama dari anggota koalisi anti-ISIS.
“Mereka menanggung tanggungjawab atas tindakan ketenteraan mereka,” kata Kush.
“Ini sangat penting, mereka dan semua penderma kemanusiaan melangkah untuk memastikan khidmat asas dipulihkan, untuk memberi anak-anak masa depan yang lebih cerah, setelah semua yang mereka alami selama konflik Syria,” katanya. — KOMPAS