Semasa

Jemaah antarabangsa dibenar tunai umrah mulai 10 Ogos

Hasil kejayaan musim haji tahun ini

DUBAI: Arab Saudi mengumumkan ibadah umrah dibuka semula kepada jemaah dari luar negara, bermula 10 Ogos depan.

Menurut laporan Gulf News, ia susulan kelancaran musim haji tahun ini yang selesai dengan jayanya.

Mulai semalam, ibadah umrah dibenarkan khusus untuk rakyat Arab Saudi dan ekspatriat di negara itu.

Menurut Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Abdul Rahman Al-Sudais, semua ahli gabungan wajar memuktamadkan persediaan bagi menerima jemaah umrah di Masjidil Haram, Tanah Suci Makkah.

Beliau meminta petugas memastikan pelaksanaan langkah pencegahan di Masjidil Haram serta Masjid Nabawi, Madinah, selaras ‘kerja dan kelancaran cemerlang’ pada musim Haji, minggu lalu.

Awal bulan ini, Kementerian Haji dan Umrah menghentikan sementara permohonan untuk menunaikan solat dan ibadah umrah di Masjidil Haram.

Ia bagi menyelesaikan kerja sanitasi di Masjidil Haram menjelang musim Haji tahun ini.

Sementara itu menurut Haramain Sharifain, penerbangan terus dibenarkan dari semua negara kecuali India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan, dan Lubnan yang dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari di negara ketiga sebelum tiba di Arab Saudi.

Jemaah diwajibkan menerima vaksinasi COVID-19 yang lengkap sama ada vaksin Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau Johnson & Johnson (J&J).

Imunisasi lengkap membabitkan vaksin keluaran China pula dikehendaki berserta dos ‘penggalak’ sama ada suntikan Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau J&J.

Jemaah perlu berusia 18 tahun ke atas, dan ketibaan melalui agensi umrah yang ditauliahkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Kenyataan Haramain Sharifain yang dikeluarkan di laman Twitter

– AGENSI

Oleh : Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button