Semasa

Polis sahkan berlaku kesesakan lalu lintas di Plaza Tol Gombak

PETALING JAYA : Polis Daerah Gombak mengesahkan berlaku kesesakan lalu lintas di Plaza Tol Gombak pada Khamis (22 Julai) lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata kemuncak kesesakan berlaku pada pukul 8 malam hingga 9.30 malam melibatkan jarak sejauh 1.8 Kilometer dari Sekatan Jalan Raya (SJR).

“Kesesakan lalulintas ini berpunca daripada pertambahan pengguna jalan raya yang menggunakan surat kebenaran MITI yang sebelum ini tidak dibenarkan mulai 18 Julai sehingga 21 Julai.

“Selain daripada itu, ia juga disebabkan banyaknya kenderaan ‘essential’ yang membawa barangan untuk merentas negeri.

“Dalam masa yang sama, pihak polis telah membuat pemeriksaan teliti ke atas kenderaan yang melalui SJR tersebut bagi memastikan tiada mana-mana pihak mengambil peluang dan kesempatan untuk merentas negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sepanjang pemeriksaan dijalankan, kebanyakan pengguna jalan raya mempunyai surat kebenaran dan hanya dua kompaun dikeluarkan pada waktu tersebut atas kesalahan tidak mempunyai sebarang surat kebenaran merentas negeri.

Bagi memastikan kelancaran pergerakan, pihak polis telah membuka tiga lorong untuk pemeriksaan di SJR.

Dalam pada itu, polis juga menasihatkan orang ramai dan pengguna jalan raya agar terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan bersama-sama dalam membendung wabak Covid-19 yang sedang melanda.

Sebelum ini, tular gambar di laman sosial memaparkan kesesakan lalulintas di Plaza Tol Gombak yang dipercayai berlaku pada Khamis lalu kira-kira pukul 8.42 malam.

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button