Semasa

1.2 tan durian diagihkan percuma oleh pemilik kedai emas

rezeki sama dikongsi

KOTA BHARU : Sebanyak 1.2 tan durian pelbagai jenis diagihkan percuma kepada lebih kurang 500-700 pengguna jalan raya, secara pandu lalu di Pasir Pekan pada hari ini. Ini termasuklah durian Musang King dan Tok Litok.

Agihan durian itu dibuat oleh pemilik kedai emas yang memperoleh bekalan durian daripada tujuh orang pembekal di sekitar Dabong Kuala Krai.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MZ Gold Murtadhatumizi Mustapha, setiap penerima mendapat dua atau tiga biji durian bergantung kepada saiz buah berkenaan.

“Idea untuk mengagihkan durian secara percuma ini kerana harga durian di pasaran agak tinggi… Jadi timbul di hati saya untuk berkongsi sedikit dengan orang ramai terutamanya bagi mereka yang terjejas pendapatan ketika tempoh pandemik COVID-19 ini.

“Mungkin ada antara kita yang teringin untuk menikmati durian, namun tidak mampu… Oleh itu, dengan adanya sumbangan ini sekurang-kurangnya ia dapat memenuhi hasrat mereka yang tidak berkemampuan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasir Pekan, di sini hari ini.

Murtadhatumizi menambah kos pembelian durian itu mencecah RM7,000 sekali gus membantu pembekal yang buntu memasarkan hasil mereka dan mengelak berlaku lambakan durian kerana raja buah itu mudah rosak. — BERNAMA

Related Articles

Back to top button