BANGI : Israel mencadangkan supaya akaun media sosial individu dan kumpulan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan serangan siber terhadap pengguna media sosial Israel, disekat.
Cadangan itu susulan laporan Pusat Maklumat Perisikan dan Keganasan Meir Amit yang menunjukkan serangan siber tertinggi terhadap akaun media sosial Israel atau pro-Israel dikenal pasti datang dari Malaysia.
Menurut laporan itu, antara tanda pagar yang paling kerap digunakan ketika serangan siber tersebut adalah #IsraelKoyak apabila ia disebut lebih 557,000 kali di Twitter dengan 481,000 atau 86 peratus penggunannya adalah dalam ruangan komen dan ciapan semula (retweet).
Katanya, tanda pagar itu telah mencecah capaian 250 juta pengguna dan ‘trending’ ketika Israel melakukan operasi menyerang Semenajung Gaza antara 10 hingga 21 Mei lalu.
“Kami mengenal pasti sumber tertinggi serangan siber ini adalah dari Malaysia, yang diketuai organiasasi dan kumpulan anti Israel yang memiliki lebih ratusan ribu penonton dan pengikut (views & followers).
“Malah, kumpulan itu turut memberi panduan mengenai cara-cara melakukan serangan siber atau ‘troll’ terhadap akaun pro-Israel dan menyekat akaun mereka,” katanya.
Laporan itu turut menyebut, antara sasaran serangan siber oleh Malaysia adalah bekas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu; Pasukan Pertahanan Israel dan akaun; jurucakap media Arab,Avichay Adraee, selebriti dari Israel, Gal Gadot; Kesatuan Kristian untuk Israel dan banyak lagi.
Antara akaun yang dikenal pasti terbabit dalam serangan siber itu ialah Cinta Syria Malaysia (CSM) dan Tentera Troll Kebangsaan Malaysia serta DragonForce Malaysia yang baru-baru ini dipercayai menggodam data Israel dan mendedahkannya secara umum.
Dalam pada itu, Israel turut mendakwa serangan tersebut telah mencemarkan hak kebebasan bersuara rakyat Israel yang ingin menyokong tindakan serangan terhadap Gaza.
“Ini menunjukkan pengguna platform media sosial yang tidak bertanggungjawab dan perlu ada tindakan proaktif daripada pihak mereka.
Oleh Azzman Jamal