Pulau Perhentian : Rumahnya terletak di kaki bukit di Pulau Perhentian Kecil. Untuk ke sana, perlu lebih tenaga kerana perlu menaiki tangga yang menanjak ke atas.
Sebaik sahaja tiba di situ, kita akan disambut dengan pemandangan sebuah rumah kayu yang pada asalnya dicat kuning, tetapi sudah luntur dan bertukar warna kelabu. Tingkapnya tertutup rapat dan hanya pintunya yang terbuka sedikit, dan ada kain jemuran di luar yang memberi tanda ada penghuni di dalamnya.
Selepas memberi salam dua kali, dari balik pintu muncul Norizan binti Junuh yang mengenakan tudung ungu dan memakai ‘mask’ hitam. Dia terlihat terkejut dengan kedatangan pihak MAPIM Malaysia yang mengenakan vest hijau dan wakil penduduk yang membawa kotak bantuan.
Selepas diberitahu bahawa kedatangan MAPIM Malaysia adalah bagi memberikan bantuan, dan nama beliau termasuk dalam senarai penerima, dia kelihatan sedikit lega.
“Saya tak bernikah, emak dan ayah sudah meninggal dunia. Saya tinggal seorang diri sahaja di sini.”
Jawapan itu agak mengejutkan kerana kedudukan rumahnya yang terletak antara paling belakang di lereng bukit, menjadikannya cukup sunyi. Ditambah lagi beliau duduk seorang diri, kesunyian itu semakin mencengkam.
MAPIM Malaysia juga dimaklumkan beliau tidak memiliki telefon bimbit. Jadi segala urusan harus terus ke rumahnya.
Norizan binti Junuh sudah berumur 56 tahun. Walaupun anak-anak saudara beliau sangat mengambil berat tentang dirinya, tetapi mereka semua jauh berada tanah besar, dan mujur masih ada jiran-jiran berhampiran yang baik.
Beliau kini sudah tidak bekerja dan hanya mengharapkan bantuan zakat sebanyak 200 ringgit setiap bulan. Apabila ditanya adakah ia mencukupi, pantas dia menjawab, cukuplah untuk hidup seorang diri.
Makanannya setiap hari cukup sederhana. Nasi dan sardin. Sekiranya ada yang bermurah hati, dan ada rezeki lebih bolehlah merasa ikan segar ataupun daging.
Beliau sangat terharu dan mengucapkan terima kasih kepada pihak MAPIM Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan wakil penduduk yang sanggup datang ke rumahnya, dan membantu meringankan beban beliau. Walaupun tidak banyak, tetapi ia sudah cukup mengembirakannya, tanda masih ramai yang prihatin dan ingat kepadanya.
Menurut (Dr.) Sani Araby Al Kahery, Ketua Misi Panggilan Pulau,
“Kita sudah tegaskan, kita akan santuni semua penduduk yang memerlukan di pulau ini. Tidak ada yang tertinggal. Atas urusan itu, kami sangat berterima kasih dengan bantuan data daripada pihak APM dan persatuan penduduk di pulau ini. Semua data itu kami masukkan ke dalam sistem i-Ummah, sebuah sistem pengumpulan data untuk asnaf. Yang pasti ia akan memudahkan pengagihan bantuan pada masa hadapan.”
AYUH KITA LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA UNTUK NEGARA
MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan kesusahan dalam negara lanjutan lock down dan covid-19. Ramai hilang pekerjaan dan dibebani dengan ujian
Sumbangan infaq boleh disalurkan menerusi
Akaun Maybank
562263540066
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
HOTLINE MAPIM MALAYSIA
jika ada keluarga dan jiran yang sangat sangat terdesak seperti diatas, mohon maklumkan pada MAPIM Malaysia menerusi whatapps 0128002016 atau hotline 1300-888-038