
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah mengekalkan keputusan membenarkan makan di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel di negeri ini ketika fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata ia selaras dengan keputusan kerajaan negeri yang membenarkan aktiviti berkenaan ketika fasa pertama PPN dikuatkuasakan pada 29 Jun lalu.
“Ini pendirian kita. Kerajaan negeri kekal dengan keputusan membenarkan dine-in di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel di negeri Sabah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, Hajiji menjelaskan keputusan itu mengambil kira situasi COVID-19 di negeri ini yang terkawal.
Beberapa aktiviti sosial diberi kelonggaran termasuk makan di restoran dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah PPN yang bermula 29 Jun lalu.
Oleh Pelatih Hafeez Anuar (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ