Melaka benarkan 500 jemaah solat Aidiladha di 7 masjid
MELAKA : Kerajaan Melaka menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membenarkan solat sunat Aidiladha dilaksanakan dengan jumlah maksimum seramai 500 jemaah di tujuh buah masjid kerajaan di negeri itu.
JAIM dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan bagi masjid kariah dan masjid institusi negeri hanya 100 jemaah dibenarkan.
“Solat sunat Aidiladha pada 20 Julai dibenarkan untuk dilaksanakan secara berjemaah dengan jumlah maksimum kehadiran adalah 500 bagi di tujuh buah masjid kerajaan negeri.
“Manakala 100 jemaah ditetapkan untuk masjid kariah dan masjid institusi negeri serta 50 jemaah di surau-surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat,” katanya.
Surau awam yang mendapat kebenaran khas dari Jabatan Mufti Negeri Melaka juga dibenarkan untuk melaksanakan solat sunat tersebut dengan jumlah maksimum seramai 50 jemaah.
Tambahnya, masjid dan surau yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan untuk melaksanakannya secara berkumpulan.
“Penduduk di kawasan PKPD juga adalah dilarang pergi ke masjid dan surau di kawasan lain. Penduduk hendaklah mendirikan solat sunat Aidiladha di rumah masing-masing.
“Kehadiran jemaah di kesemua masjid dan surau hendaklah dilaksanakan di dalam bangunan masjid dan surau dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Jemaah yang hadir juga mestilah berusia 12 tahun ke atas dan pemasangan khemah di kawasan masjid serta surau adalah tidak dibenarkan.
Sementara itu, takbir Aidiladha secara berkumpulan dibenarkan di masjid dan surau selepas solat Maghrib pada malam 10 Zulhijjah 1442H (19 Julai 2021M) sehingga pukul 10 malam dengan jumlah kehadiran tidak melebihi 12 orang.
“Penganjuran aktiviti takbir dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan. Pentadbiran masjid dan surau perlulah memastikan pematuhan prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.
//tamat//
Oleh Hafeez Anuar (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ