NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa Israel secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa apabila memperluaskan penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Arab News melaporkan, badan dunia itu menegaskan penempatan terbabit tidak sah dan mendesak kerajaan baharu Israel menghentikan pencerobohan secara haram itu.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan Wakil PBB Ke Asia Barat, Tor Wennesland, mengetengahkan Resolusi Majlis Keselamatan 2016 yang mengisytiharkan penempatan Yahudi itu tidak sah dari segi undang-undang.
“ Badan dunia itu menuntut penghentian secepat mungkin terhadap peluasan penempatan haram itu yangakan membahayakan kemungkinan masa depan negara Palestin.” – Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres
Wennesland, dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai laporan setebal 12 muka surat oleh Guterres, menyatakan pihaknya ‘sangat bimbang’ dengan tindakan Israel itu.
Resolusi itu menuntut rejim Zionis menghentikan kerja memperluaskan penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, tanah yang akan dimasukkan dalam tuntutan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.
Menurut Guterres dan Wennesland lagi, selepas empat tahun setengah resolusi itu diluluskan, tiada satu pun kandungannya dipenuhi Israel.
“Jangka masa di antara Mac dan Jun yang terkandung di dalam laporan menyaksikan peningkatan membimbangkan keganasan antara Israel dan Palestin.” – Wakil PBB Ke Asia Barat / Tor Wennesland
Gencatan senjata selepas peperangan di Gaza selama 11 hari bulan lalu dilihat amat rapuh dan PBB masih menjalin kerjasama erat dengan Israel, Palestin serta negara lain termasuk Mesir bagi memperkukuh gencatan senjata.
“Ini termasuk membenarkan kemasukan segera bantuan kemanusiaan dan menstabilkan keadaan di Gaza,” katanya.
Sementara itu, Guterres menggesa semua etnik di Palestin untuk mengambil tindakan serius bagi memastikan penyatuan kembali Gaza dan Tebing Barat di bawah satu pemerintahan kerajaan yang sah lagi demokratik.
“Gaza harus tetap menjadi sebahagian daripada negara Palestin melalui penyelesaian dua negara.
“Ketika laporan dalam tempoh Mac hingga Jun, 295 warga Palestin termasuk 42 wanita dan 73 kanak-kanak dibunuh oleh tentera Israel.
“Selain itu, 10,149 cedera dalam tunjuk perasaan, pertempuran, operasi carian dan tangkapan, serangan udara dan tragedi lain di Gaza, Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis,” katanya.
Dalam pada itu, 90 anggota tentera Israel dan 857 rakyatnya cedera dalam pertembungan dengan Israel termasuk akibat kes baling batu dan bom petrol.
Menurut Al Jazeera, penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin dianggap tidak sah berdasarkan undang-undang antarabangsa. Sejumlah di antara 600,000 dan 750,000 penduduk haram Israel tinggal di lebih daripada 250 penempatan haram (130 rasmi, 120 tidak rasmi) di wilayah Palestin .
Oleh: Pelatih Fakulti Filem,Teater dan Animasi , UiTM -Hafiy Syazuan